Kenapa Lailatul Qadar sangat istimewa?

Posted on August 18, 2011 by Dr. Zainur Rashid

Bagi umat Muhammad saw yang pendek hayatnya, malam yang istimewa ini adalah peluang yang terbaik buat kita semua untuk memburu habuan dan redha dari Ilahi…

Firman Allah swt :

“Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu ? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar”.

Surah al-Qadr 1-5

Apakah keistimewaan Lailatul Qadar yang boleh kita pelajari daripada ayat-ayat ini?

Sesungguhnya sangat banyak kemuliaan Lailatul Qadr, secara ringkasnya ialah….

1-Allah swt telah menurunkan Al Qur’an ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar  ini.

2-Allah swt mengagungkan malam ini dengan bentuk pertanyaan, “Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?” (Surah al-Qadr ayat 2)

3-Ibadah yang dilakukan pada Lailatul Qadar adalah lebih baik dari ibadah yang dilakukan selama seribu bulan (83 tahun).

4-Para malaikat bergerombolan turun pada malam ini dengan membawa rahmat, berkah dan ketenangan.

5-Keamanan dan keselamatan meliputi orang-orang yang beriman pada malam ini dan para malaikat terus menerus mendo’akan keselamatan mereka.

6-Inilah kesempatan terbaik untuk memohon pengampunan dosa dari Allah swt

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu. Barangsiapa solat pada Lailatul Qadar kerana beriman dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah berlalu.” :

(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Aisyah r.ha bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud : “Berusahalah mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”

(Hadith Riwayat Bukhari)

Ayoh teman dan sahabat !

Jom semarakkan penghujung Ramadhan Mubarak yang bakal meninggalkan kita dalam sedikit masa lagi. Ini mungkin Ramadhan yang terakhir buat kita….

Majlis Iftar dan Solat Hajat Mengajak Mahasiswa Hayati Konsep Tawakkal

Bangalore 9 Ogos 2011- “Peperiksaan adalah medan untuk menguji kebergantungan kita kepada Allah, bukanlah semata-mata medan menguji kebijaksanaan”, begitulah pesan saudara Anas Aminin yang menyampaikan tazkirah sempena majlis iftar dan solat hajat untuk mahasiswa tahun 1 dan tahun 2 IMS Bangalore. Beliau turut berpesan bahawa peperiksaan di bulan Ramadhan tidak sepatutnya menghalang kita untuk terus fokus dalam Ibadah khusus. Bahkan inilah masanya untuk meningkatkan jihad.

Majlis iftar dan solat hajat anjuran isma india itu diadakan di Bait at-takdeeb. Seramai 30 orang mahasiswa IMS Bangalore telah hadir untuk sama-sama menjayakannya.

Solat Maghrib dan Solat Hajat yang diadakan selepas jamuan ringan berbuka puasa telah diimamkan oleh Saudara Farid Nazmi. Sebelum memulakan solat Hajat beliau turut menekankan kepentingan untuk bertawakkal kepada Allah.

Kami dari ISMA India mendoakan kejayaan untuk mahasiswa IMS Bangalore. Semoga redha Allah yang kita cari.

Rehlah Masyi Siswa – Pemangkin Kekuatan

Bangalore, 18 Ogos 2011 – Program Rehlah Masyi atau Rehlah Badar telah berjaya dilaksanakan untuk Ramadhan 1432H kali ini. Program ini disusun untuk mengimbau kembali kenangan serta mengambil semangat perjuangan di medan Badar.
 
Para peserta berkumpul setelah selesai kuliah petang di Bangalore Baptist Hospital. Program bermula dengan taklimat ringkas sebelum berjalan beramai-ramai. Perjalanan berhenti seketika untuk menunaikan Solat Asar. Sejurus selepas itu, para peserta menghabiskan baki jarak perjalanan yang telah ditetapkan.
 
Program diakhiri dengan tazkirah mengenai ‘Ibrah Badar Kubra’ oleh Ahmad Farid Nazmi Abdul Halim selaku Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA India dan disusuli dengan majlis berbuka puasa.
 
Rehlah Masyi kali ini bukan sekadar untuk mendapatkan penat atau lelah setelah merentasi perjalanan yang jauh tetapi apa yang ingin ditekankan adalah untuk mendidik para peserta supaya terus memangkin kekuatan dalam usaha mendaulatkan Islam kembali.
 
Semoga ibrah daripada Ghazwah Badar Kubra tertanam di dalam hati para peserta, serta diaplikasikan dalam kehidupan kali ini.Semoga para peserta dapat menjadi tulang belakang kepada dakwah terhadap masyarakat Malaysia di India sebagaimana tentera Badar menjadi Qaedah Sulbah bagi kaum Muslimin. 

Salam imtihan untuk pelajar tahun 1 dan 2

ISMA INDIA ingin mengucapkan Salam Imtihan kepada pelajar-pelajar tahun ke 2   IMS-MSU Bangalore yang akan menduduki peperiksaan akhir bermula esok dan juga kepada siswa dan siswi tahun 1 yang sedang menjalani peperiksaan akhir mereka juga yang bermula semalam.

Semoga mereka diberikan kekuatan dan kemudahan sepanjang peperiksaan ini oleh Allah SWT. Semoga apa yang dicita-citakan dapat dicapai selaras dengan tercapainya keredhaan Allah dalam apa sahaja dugaan dan ujian yang diberikan kepada hambaNya. Usaha dan doa telah mereka curahkan. Bersama-sama kita berdoa demi kejayaan siswa dan siswi bersama. Semoga Allah bersama setiap di antara kita. Semoga juga Allah mengembalikan ilmu yang diajarkan kepada kita di saat kita memerlukannya. Mintalah dariNya kerana segala-galanya adalah aturan Allah SWT. Berserahlah kepadaNya dengan sepenuh hati kita.

Berusahalah bersungguh-sungguh kerana tiada kejayaan yang datang bergolek. Berdoa dan mintalah kepadaNya kerana kepadaNyalah semua tempat bergantung. Bertawakallah dan serahkanlah segala-galanya kepada Allah kerana Dialah sebaik-baik penentu.

“Distinction for Ummah”

Bittaufiq wannajah fil imtihan

Majlis Iftar dan Solat Hajat Siswi Tahun 1

Bangalore,10 Ogos 2011- Memasuki fatrah imtihan di sepanjang bulan Ogos ini, Biro Dakwah Dan Aktiviti telah menganjurkan Majlis Iftar dan Solat Hajat bagi siswi Tahun 1 yang akan menduduki peperiksaan akhir tahun 1 bermula 16 Ogos 2011.

Kemeriahan majlis bermula dengan ketibaan siswi seawal jam 6 petang. Majlis yang diadakan di Bait At-Takdeeb berjaya mengumpulkan kira-kira semua siswi tahun 1 bagi menjayakan program iftar dan solat hajat ini. Berkumandangnya azan pada jam 6.44 petang menandakan waktu berbuka puasa bagi daerah Bangalore. Kami berbuka puasa dengan kudapan ringan sebelum solat maghrib bersama-sama dan disusuli dengan solat hajat memohon doa moga Allah mudahkan segala urusan dalam menghadapi medan imtihan.


Selepas solat maghrib, para siswi dihidangkan dengan sedikit jamuan berbuka puasa. Selesai majlis iftar, masa terluang yang berbaki diisi dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh salah seorang akhawat dari biro dakwah dan aktiviti. Tazkirah yang ringkas tetapi padat dengan peringatan dan kata-kata motivasi diharap dapat membantu menaikkan semangat siswi tahun 1 untuk terus berjuang di medan ilmu.

Antara intipati tazkirah yang disampaikan adalah mengenai  tips-tips cemerlang dunia akhirat berpandukan surah Al-Mu’minun. Konsep yang boleh diambil dalam konteks ‘muslim student’s life’ ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatah arang di pertengahan jalan. Namun siswi tahun 1 diingatkan agar janganlah hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. ‘Highlight’ utama adalah supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah kerana kita akan kembali mengadapNya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah dan merebut peluang mewarisi syurgaNya.

Majlis tamat kira-kira jam 8.15 malam sebelum siswi bergerak menuju ke surau bagi menunaikan solat isyak dan solat tarawikh.

Kami dari Biro Dakwah dan Aktiviti Isma India mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir untuk mahasiswa dan mahasiswi tahun 1 dan tahun 2 IMS-Bangalore. Moga setiap usaha dan doa dibalas oleh Allah dengan kecemerlangan dunia dan akhirat,insyaAllah..bittaufeeq wannajah fil imtihan.

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan.”(Ankabut: 69)

Disediakan oleh,

Biro Dakwah dan Aktiviti ISMA India

Takziah untuk Saudari Syamimi dan Keluarga

Assalamualaikum wbt…

Dikesempatan ini, ISMA India ingin mengambil peluang mengucapkan takziah buat saudari Siti Nur Syamimi binti Mohd Asaad (pelajar tahun akhir IMS-MSU Bangalore) dan sekeluarga atas ujian Allah yang menimpa nenek beliau beberapa hari lepas.

Kami berdoa dan berharap agar Siti Nur Syamimi dan keluarga tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa.

Menurut sumber, nenek beliau disahkan mengalami ‘stroke’ dan ‘hemiplegia’ beserta ‘hip fracture’ sewaktu di tempatkan dalam hospital di Kuala Lumpur baru-baru ini. Alhamdulillah keadaan nenek beliau semakin pulih.
Marilah kita sama-sama mendoakan agar segera diberi kesembuhan serta dianugerahkan Allah kesabaran atas apa yang berlaku.

Takziah untuk Saudari Fazehan dan Keluarga

ISMA India di kesempatan ini ingin mengucapkan takziah kepada saudari Nor Fazehan Khairudin(pelajar perubatan semester ke-7 KMC Mangalore) serta keluarga atas ujian yang menimpa adik beliau semalam. Kami berdoa dan berharap agar Nor Fazehan Khairudin dan keluarga tabah, cekal dan sabar dengan ujian yang menimpa.

Menurut sumber, adik beliau mengalami pendarahan otak akibat kemalangan dan telah dikejarkan ke dewan bedah. Marilah kita berdoa agar segera diberikan kesembuhan serta dianugerahkan Allah kesabaran atas peristiwa yang berlaku.