Category Archives: SEMASA

Perutusan takziah buat keluarga Allahyarham Noramfaizul

 

Presiden ISMA dan seluruh Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA mengucapkan takziah kepada keluarga jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor di atas pemergian beliau ke rahmatullah pada 2 September yang lalu.

Allahyarham maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. ISMA mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali-’Imran: 185)

http://www.ismaweb.net/v4/2011/09/perutusan-takziah-buat-keluarga-allahyarham-noramfaizul/

Kunjungan Kedua ISMA India ke Consulate General of Malaysia, Chennai Eratkan Hubungan

Chennai 10 Jun 2011 – ISMA India telah mengadakan kunjungan hormat  ke Consulate General of Malaysia di Chennai. Kunjungan ini merupakan kunjungan hormat yang kedua selepas kunjungan pertama pada April lepas.

Delegasi ISMA India kali ini disertai oleh Timbalan Presiden ISMA, Hj Aminuddin Yahya serta tiga wakil ISMA India. Sambutan hangat telah diberikan oleh pihak Consulate yang diwakili oleh Konsul General, En Anwar Kasman dan Konsul Pendidikan, En Khairuddin Hj Abdullah.

Dalam pertemuan selama hampir satu jam itu Hj Aminuddin Yahya telah berkongsi matlamat yang ingin dicapai ISMA terutamanya berkaitan dengan isu kesatuan dan survivability orang Melayu Islam. En Anuar Kasman member maklum balas yang positif dan menaikkan isu survivability orang Melayu di dalam bidang ekonomi.

Penerangan tentang fokus-fokus ISMA yang lain turut dikongsi seperti mewujudkan keluarga sejahtera yang islami lantas menyelamatkan remaja melalui institusi keluarga. Selain itu isu usaha ISMA untuk membina jati diri pelajar di India juga turut disentuh.

Lawatan ringkas ini disusuli dengan jamuan tengahari secara santai di restoran Pelita bersama staf-staf Konsulat yang lain. Diharapkan hubungan yang terjalin ini akan membuahkan pelbagai lagi bentuk kerjasama di antara ISMA India dan pihak Consulate General of Malaysia Chennai.

Membina Generasi Harapan

Anas Aminin W M Izzuddin

Timbalan Pengerusi ISMA India

Dean’s List Awards

dari kiri: Hasbi, Farah Inani, Dato’ Presiden MSU, Farid Nazmi, Rafi.

Pada hari Sabtu, 21 Mei 2011, satu majlis penghargaan, Management and Science University (MSU) Dean’s List Awards Ceremony telah dilangsungkan di Dewan Auditorium International Medical School (IMS) Bangalore campus, Bangalore, India. Majlis ini di dirasmikan oleh Prof. Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid, Presiden MSU, diiringi oleh Prof. Dato’ Dr. Junainah Abd. Hamid merangkap Ketua Pegawai Pemasaran MSU (CEO).

Tujuan utama majlis ini dilangsungkan adalah sebagai penghargaan kepada pelajar Perubatan di IMS Bangalore di atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam bidang akademik. Di antara penerima Anugerah Dekan ini termasuklah 3 orang ahli ISMA India (gambar) iaitu Farah Inani bt Abdul Razak (tahun 4), Mohd Rafi’uddin Bin Hamidon (tahun 2) dan Tuan Mohd Amirul Hasbi Bin Tuan Pail (tahun 2). Semoga dengan kejayaan mereka dapat menyemarakkan lagi keazaman untuk berjaya dalam kalangan pelajar. 

Sekian. 

7 Jan 2011 : Semenanjung Gaza Diserang Lagi

7 Januari 2011 – Pesawat tempur rejim Israel mengebom beberapa sasaran di Semenanjung Gaza, malam tadi waktu Malaysia, menyebabkan kerosakan material, tanpa kecederaan dilaporkan sehingga kini.

Jet tempur jenis F-16 melakukan serangan ke atas kubu Brigade al-Qassam di Gaza City, menyebabkan sekolah Tunis yang berdekatan rosak dan juga beberapa buah rumah. Penduduk di wilayah Jabal Al Rayes timur bandar Gaza merasai gegaran bom yang dilancarkan dari jet tempur musuh tanpa dilaporkan cedera atau kematian setakat ini.

Di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, pesawat musuh melancarkan serangan di sebuah kawasan kosong di timur bandar tersebut. Langit Gaza menyaksikan beberapa jet pejuang berlegar rendah dikhuatiri banyak lagi serangan akan dilakukan pada minggu pertama tahun 2011 ini.

Terbaru : Jurucakap bantuan kecemasan, Abu Adham, mereka menemui dua syuhada yang ditembak rejim Israel Timur Jabalya, Semenanjung Gaza, kedua-duanya ditembak pada hari Rabu, 5/1/2011.

Abu Adham menambah, walaupun mereka ditembak pada malam Rabu, mayat mereka hanya boleh dikeluarkan dari tempat dari tempat mereka ditembak pada pagi Khamis 6/1/2011 disebabkan sekatan serta kehadiran tentera rejim tersebut di kawasan sasaran yang dikhuatiri akan melakukan serangan ke atas pihak ambulan yang cuba membawa mereka keluar.

Menurut Israeli Occupation Forces (IOF), tentera mereka melepaskan peluru ke kawasan tersebut kerana mendapati dua orang ini mendekati pagar keselamatan yang mengelilingi Jalur Gaza, menyangka bahawa mereka (2 orang awam) mahu menanam bahan letupan.

Biro Media ISMA India

Sumber : amanpalestin.net

Ijtimak Tarbawi Nasional perkasakan agenda ISMA ubah masyarakat melalui tarbiyah

PEDAS Seramai lebih 400 pemimpin-pemimpin tarbiyah dalam ISMA dari seluruh negara serta cawangan-cawangan ISMA luar negara telah berhimpun dalam Ijtimak Tarbawi Nasional yang dianjurkan oleh Biro Pembangunan Insan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Program ini telah berlangsung pada 3-5 Disember 2010 di Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan.

Program selama dua hari ini disusun selaras dengan pendekatan ISMA yang menjadikan tarbiyah sebagai tiang utama dalam agenda pembinaan jamaah Islam, yang secara langsung menentukan jatuh bangunnya ISMA.

Ianya padat dengan pembentangan beberapa kertas kerja dan forum serta aktiviti-aktiviti ibadah yang diwajibkan ke atas setiap peserta, bertujuan untuk memperkemaskan amal tarbawi ISMA.

Dalam temuramah bersama Ustaz Mohd Azizee Hassan selaku pengarah program, beliau menerangkan, “Ijtimak ini mempunyai beberapa objektif, iaitu untuk mengukuhkan makna intima’ peserta kepada jamaah, mengulangkaji semula maksud tarbiyah yang dibawa oleh ISMA, memantapkan kefahaman peranan murabbi dan mengukuhkan ukhuwwah sesama peserta”.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden ISMA, melalui laman Facebook beliau berkata, “Ijtimak dua hari ini menggariskan hala tuju jelas untuk para murabbi dan nuqaba’ dalam menjayakan agenda ISMA untuk membangunkan sebuah bangsa yang kuat dan memiliki risalah”.

Para ahli ISMA juga menyakini bahawa kekuatan tarbiyah akan menjadi pengukur kelangsungan hayat ISMA.

Sumber: Laman ISMA Web

 

ISMA sumbang 13 ekor lembu kepada penduduk Aceh sempena Aidiladha 1431H

ACEH, 27 November Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sekali lagi telah berjaya melaksanakan Program Ibadah Qurban dan Tautan Kasih bersama anak-anak yatim di Pondok Yatim Ar-Raudhah, Blang Weu Panjou, Lhokseumawe, Aceh, yang merupakan sebuah madrasah penempatan dan pembangunan untuk anak-anak yatim Aceh yang dibangunkan atas usahasama Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) Indonesia, ISMA dan juga Yayasan Ar-Raudhah Malaysia.

Satu rombongan terdiri daripada tujuh orang wakil ISMA telah dihantar untuk menjayakan Projek Qurban tersebut yang telah berlangsung pada 18 sehingga 22 November 2010.

Program yang telah dirancang 3 bulan lebih awal tersebut telah berjaya menarik penglibatan para belia dan orang-orang  kampung di kawasan sekitar Pondok Yatim untuk turut serta. Sebanyak 13 ekor lembu dan beberapa ekor kambing aqiqah berjaya disumbangkan, dan dagingnya telah diagihkan kepada Pondok Yatim tersebut yang mempunyai lebih kurang 60 orang anak yatim lelaki dan perempuan, serta 240 keluarga dalam 6 buah kampung di dalam daerah Lhokseumawe yang rata-ratanya terdiri dari keluarga yang miskin dan berpendapatan rendah.

Selain daripada aktiviti korban dan aqiqah, para peserta rombongan juga mengadakan aktiviti bersama anak-anak yatim, antaranya bacaan tilawah Al-Quran, hafazan, slot motivasi, aktiviti dalam kumpulan yang menekankan aspek kepentingan belajar dan juga sesi persembahan kesenian dari anak-anak yatim dan juga wakil dari ISMA. Para peserta rombongan juga turut menganjurkan aktiviti riadhah di waktu petang dan rehlah di Pantai Biru, Lhokseumawe.

Pegawai PKPU yang mentadbir pondok anak yatim tersebut, En. Hamdani, mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua penyumbang haiwan qurban pada tahun ini, dan beliau berharap lebih ramai penyumbang dari Malaysia akan sudi untuk melaksanakan ibadah qurban di sana bagi memenuhi keperluan faqir miskin yang belum berkesempatan untuk menerima agihan daging qurban.

Mohd Hamdan Mohd Sharif,
Wartawan Program Qurban Aceh 2010

 

Presiden ISMA mewakili Malaysia dalam misi kemanusiaan OIC

HELIOPOLIS, 27 November – Presiden ISMA yang juga Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman bersama Naib Yang Dipertua (YDP) ISMA Seremban Prof. Madya Dr. Zainur Rashid bin Zainuddin tika ini mewakili Negara kita Malaysia dalam sebuah misi kemanusiaan antara benua yang disertai oleh lapan buah negara Islam yang dikelolakan oleh Pertubuhan Islam Sedunia (OIC).

Lapan negara yang diwakili oleh beberapa individu bagi setiap Negara sedang melengkapkan misi yang diketuai oleh Fouad Meznay, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kemanusiaan OIC ini akan menilai situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, khususnya di bidang kesihatan, dan akan mengaktifkan mekanisma penyelarasan di antara organisasi-organisasi kemanusiaan yang berkait dengan OIC , disamping melancarkan sejumlah projek yang kritikal bagi penduduk di Gaza.

Seperti yang kita maklum, kerajaan yang dibentuk berdasarkan system demokrasi pada pilihan raya Palestin 2006 dahulu telah ditekan dan diserang bertubi-tubi hingga ke hari ini dan menyaksikan ribuan masyarakat terbunuh dan ratusan ribu lagi dicengkam tekanan daripada musuh Islam diperingkat antarabangsa.

“Usaha OIC kali ini merupakan suatu langkah kehadapan yang besar dalam usaha membantu masyarakat Gaza,” kata Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik.

Pada misi kali ini, pihak Malaysia yang diketuai oleh Ustaz Abdullah Zaik diamanahkan untuk mengurus system pemusatan maklumat pesakit di Gaza secara khusus dan membantu sistem-sistem sokongan lain secara umum.

“Sistem ini sangat kritikal kerana sebelum ini ramai pesakit yang tidak dapat dirawat dengan sempurna hanya kerana kesukaran mengetahui sejarah pesakit tersebut,” jelas Ustaz Abdullah Zaik.

Beliau juga menjelaskan bahawa dengan terbinanya system ini maka pesakit akan mendapat rawatan susulan yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

Malah menurut beliau, dengan system ini juga membolehkan pesakit mendapatkan rawatan di hospital luar dengan jauh lebih mudah berbanding sebelum ini.

Sistem ini juga akan meningkatkan tahap rawatan pesakit di Gaza ke satu tahap yang belum pernah dicapai sebelum ini.

Kerjasama dan usaha yang dibina bakal membawa misi kemanusiaan ke tahap yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir