Monthly Archives: September 2011

Rumah Terbuka ISMA India merapatkan ukhuwwah

Bangalore 1 Syawal 1432H. Syawal tiba menandakan satu kegembiraan menyambut kemenangan setelah sebulan bermujahadah melawan nafsu. ISMA India tidak melepaskan peluang ini untuk meraikan ketibaan hari mulia ini dengan mengadakan Rumah Terbuka ISMA India.

Rumah Terbuka yang diadakan di Bayt At-Ta’deeb ini telah dihadiri oleh seramai 100 Mahasiswa dan Mahasiswi Malaysia yang menuntut di Bangalore. Sesi untuk mahasiswa diadakan bermula jam 11 pagi hingga 2 petang kemudian disusuli oleh sesi untuk mahasiswi.

Para pengunjung rumah terbuka ISMA India turut dihiburkan dengan persembahan deklamasi Sajak Kemerdekaan oleh saudara Zulhilmi Hasif dan Sajak Aidilfitri oleh saudara Amirulhasbi. Melalui sajak tersebut para pengunjung diajak untuk menghayati nilai kemerdekaan yang turut menjadi simbolik kepada makna Aidilfitri iaitu mengembalikan insan kepada fitrahnya.

Kesempatan ini turut di ambil oleh Pengerusi ISMA India, Saudara Farid Nazmi untuk berucap mengalu-alukan para tetamu. Beliau berpesan kepada para pengunjung agar dapat istiqamah dengan amal-amal di bulan Ramadhan di bulan-bulan lain agar kita menjadi hamba yang rabbaniyyah, bukan hamba ramadhaniyyah.

Pihak ISMA India berterima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan rumah terbuka Syawal pada tahun ini. Akhir kalam, Selamat Hari Raya Aidilfitri, taqaballahu minna wa minkum.

Media ISMA India

Perutusan takziah buat keluarga Allahyarham Noramfaizul

 

Presiden ISMA dan seluruh Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA mengucapkan takziah kepada keluarga jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor di atas pemergian beliau ke rahmatullah pada 2 September yang lalu.

Allahyarham maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. ISMA mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali-’Imran: 185)

http://www.ismaweb.net/v4/2011/09/perutusan-takziah-buat-keluarga-allahyarham-noramfaizul/

SEED: Program Tafaqquh & Bedah Buku

Bangalore, 27-29 Ogos: ISMA India telah menganjurkan lagi seminar bersiri iaitu Siri Eksplorasi Ad-Deen(SEED). Keistimewaan SEED kali ini adalah ia merupakan satu program dengan kerjasama ISMA Jordan. Dua penceramah jemputan dari Jordan iaitu Ustaz Mohd Sofee Bin Mustafa dan Ustaz Ahmad Bin telah diterbangkan khas untuk mengisi slot-slot SEED yang lebih menumpukan pada Program Tafaqquh & Bedah Buku.
Bertempat di Bayt Hasan Al-Banna, program dimulakan pada 2.00pm(Sabtu, 27 Ogos) dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis. Program diteruskan dengan pembentangan Shadatul Haq oleh Ustaz Mohd Sofee Mustafa. Pembentangan dipecahkan kepada 2 slot. Shahadatul Haq adalah suatu seruan yang dikemukakan oleh Sayyid Abu al-‘Ala al-Maududi dan ditujukan untuk seluruh manusia. Melalui seruan ini, beliau menjelaskan kepada masyarakat tentang dakwah Islamiyyah.
Pada hari kedua, para peserta didedahkan dengan Fiqh Siyam, Fiqh Taharah dan Fiqh Solat oleh Ustaz Ahmad Bin Khairuddin dengan harapan agar para peserta dapat melaksanakan amal ibadah berlandaskan hujah dan nas yang betul dan bukan hanya sekadar bertaklid buta.
Keesokan harinya, program diteruskan dengan pembentangan Haza Deen. Penceramah telah membetulkan salah faham tentang Islam dengan membawa para peserta untuk memahami bahawa agama Islam merupakan dasar yang terbaik bagi manusia dan adanya tuntutan-tuntutan yang perlu dipenuhi sebagai seorang Muslim. Melalui manhaj Islam yang syumul, lahirnya generasi yang unggul dan agung. Para peserta harus berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan dan menjadikan manhaj Islam sebagai peraturan hidup. Sejarah telah membuktikan bahawa manhaj ini telah berjaya mencapai kemenangan yang gemilang mengalahkan realiti pada ketika itu dan berjaya mengubah budaya berfikir dan bekerja sedia ada kepada budaya baru yang lebih terurus dan terarah.
SEED kali ini diakhiri dengan penyampaian saguhati daripada pihak ISMA India. Program kali ini telah mencapai objektif yang telah digariskan iaitu untuk memberikan kefahaman asas fiqh ibadah serta memahami studi tentang Islam kepada para peserta. Mereka memberikan respon yang positif serta berharap agar program sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang.