Bekerjalah! Walaupun Kiamat seketika nanti

“ Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala.” (HR: Al-Bukhari)

Pelik! Pelik! Hadis ini memang pelik!

Andaian kita

Apabila kita mendengar permulaan hadis ini, “ Sekiranya berlaku kiamat….”, kita sangka Rasulullah SAW akan menyambung sabdanya sebegini…

“… haruslah manusia beramal…”

“…haruslah manusia membersihkan jiwa dan perlakuan mereka..”

“… mintalah keampunan dari Tuhanmu, atas dosa yg dilakukan…”

“.. bertawajjuhlah kpd Allah dgn doa yg ikhlas agar dimatikan dalam keadaan iman dan diterima taubat dan dibangkitkan atas petunjuk…”

“..tinggalkanlah urusan dunia. Lakukanlah amalan akhirat, berzikirlah pada Allah…”

Alangkah leganya kita jika Rasulullah telah bersabda sedemikian.. jika berlaku kiamat, mintalah keampunan. Memang sudah menjadi fitrah manusia apabila dalam ketakutan dia akan melupakan dunia dan seisinya, malah fokus untuk mencari tuhannya. Dia akan merayu pada waktu itu juga agar dosa- dosanya yang keji itu diampunkan. Mereka terus lupa pada DUNIA..

TETAPI …

Rasulullah tidak bersabda seperti “Andaian kita” di atas…. Rasulullah SAW sebaliknya bersabda perkara yang amat menghairankan dan tidak terlintas di hati manusia…

“Aik? Rasulullah nak kita tanam biji buah tamar ni? Biar betul?!  Waktu Kiamat tengah berlaku nih? Yang mungkin hanya berbuah, selepas beberapa tahun dan siapa tahu lebih lama lagi?! “

Sabdanya yg penuh unik

Ikhwah akhawat sekalian jika kita teliti maksud hadis ini, jelas isi ini tersirat dan bukannya  tersurat. MasyaALLAH.. hebatnya kata- kata Rasul ALLAH ini… apa yang kita akan sedari ialah,

CIRI KEISTIMEWAAN ISLAM ITU SENDIRI:

“ Jalan akhirat itu juga jalan dunia tanpa ada pemisahan dan persimpangan.”

Dua jalan ini tidak pernah terpisah… apa yangg ingin Rasulullah SAW sampaikan kepada  umat manusia.. “Bekerjalah sehingga ke detik- detik kehidupan.”

Apa yang ingin ditekankan ialah kepentingan untuk “BERKERJA”.

Pemisahan dunia dan akhirat

Pada zaman ini, banyak orang yang memisahkan dunia dari akhirat. Terdapat terlalu banyak pemikiran yang ingin cuba memisahkan agama daripada kehidupan dan antara yang terpenting ialah fahaman “sekularisme”. Kita lihat, natijah daripada pemahaman sebegini  menyebabkan manusia akhirnya sesat, manusia akhirnya bercelaru. Mereka berkerja, dan berkerja…berkerja tanpa henti, mempunyai harta dan kekayaan, tetapi apa yang mereka rasakan dalam lubuk hati mereka ialah penat, resah dan gelisah. Mereka tidak tahu apa matlamat mereka berkerja di dunia ini. Lihat sajalah betapa banyaknya penyakit yang timbul akibat tekanan.

Jika kita faham keistimewaan Islam, “TIADA JALAN PEMISAH DI ANTARA DUNIA DAN AKHIRAT”. Kenyataan ini menjelaskan, “ Kerja” dan “Ibadah”  bukanlah sesuatu yang berasingan. Kerja yang dilakukan dengan niat yang betul, mematuhi syara’ adalah secara langsung menjadi Ibadah. Nah.. indahkan ISLAM kita?

Islam telah melakukan keajaiban ini. Islam menyatukan dunia dan akhirat di atas satu sistem. Allah berfirman dalam surah Al- Qasas, ayat 77,

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah Dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah pada yg lain, sebagaimana Allah berbuat baik pada kamu, dan janganlah membuat kerosakan di bumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang membuat kerosakan.”

Dalam mencari kejayaan di akhirat, Allah telah mengingatkan kita supaya jangan mengabaikan kehidupan di dunia. Dan apabila kita melakukan tuntutan kita di dunia dalam lingkungan redhaNya, kerja kita akan menjadi jalan menuju ke akhirat.

Pengislahan Islam di muka bumi masih amat diperlukan. Maka belajarlah, bekerjalah, gunakan harta kekayaanmu, mentadbirlah, lakukannya dengan terbaik, dengan kesemuanya di bawah nama ALLAH…

Janganlah berputus asa

Sedar atau tidak jika ikhwah akhawat meneliti hadis ini, anda akan mendapati terdapat satu lagi ibrah(pengajaran) yang penting yang boleh diambil dari hadis ini.

“Rasulullah SAW suruh kita menanam benih tamar yang ada di tangan kita jika kita mampu? Bukankah ini tidak akan berbuah pun? Kiamat dah nak berlaku dah ni. Mampukah benih ini tumbuh? Air ada ke lagi? Tanah ada ke lagi? Bukankah bumi ini akan dihancurkan? Buat apa nak tanam? Sempat ke kita tengok benih ini berbuah??…” inilah soalan yang kita juga fikirkan.

Hakikatnya, ikhwah akhawat yang dikasihi sekalian,

Apa yang Rasulullah SAW ingin tekankan ialah “Manusia ini tidak patut berputus asa sehingga ke akhir hayatnya, bahkan lebih lagi, sehingga kiamat”. Selagi manusia masih bernafas, selagi kiamat belum berlaku, manusia ini hendaklah berusaha, dan berusaha dalam apa jua perkara sekalipun.

Bekerja di atas muka bumi tidak boleh diberhentikan walaupun sesaat disebabkan perasaan PUTUS ASA daripada MENDAPATKAN HASIL.’

Lihatlah para sahabat, tabi’ dan tabien dahulu, bagaimana hasilnya apabila mereka menggabungkan dua jalan ini. Mereka bekerja, mereka mengkaji, mereka menulis ribuan naskah ilmu, dan merekalah yang menguasai tamadun dunia. Sejarah Islam telah membuktikannya. Mereka yang menggabungkan dua jalan ini adalah umat yang cemerlang dari umat yang lain. Mereka bekerja, dan bekerja dan ‘menanam benih tamar’ yang ada di tangan mereka yang hanya akan berbuah ketika Allah menghendakinya. Mereka ini sedikitpun tidak menghiraukan hasil dari usaha mereka. Memang benarlah Allah memandang pada usaha dan bukan hasilnya.

Pengajaran buat para Du’ah

Kitalah golongan yang paling mudah berputus asa dan kitalah golongan yang amat perlukan istiqamah dan teguh dalam dakwah yang kita bawa. Nah, diberi ujian sedikit oleh Allah terus kita berasa takut, malaslah, serba salah untuk teruskan dakwah dan mencari jalan penyelesaian. Aduhai, lemahnya pendakwah zaman ini.

Peniaga yang dalam kerugian, masih ada semangat untuk mengumpul modal kembali dan berniaga, ahli politik yang kalah, masih berusaha untuk menjaga kepentingannya. Mereka semua tidak berputus asa. Kenapa? Yalah, matlamat mereka adalah lebih lahiriah(boleh dirasa). Kita pula? Matlamat kita adalah lebih besar, lebih jauh malah lebih bersifat abstrak. Inilah sebabnya, bagi da’ie yang lemah bila ditimpa ujian dan bebanan, hatinya terus gentar, dan takut untuk beraksi di pentas dakwah. Sedihnya.

Segalanya mungkin…

Ikhwah dan akhawat sekalian, jadikanlah hadis ini sebagai motivasi kita, dalam apa jua yang kita ingin lakukan. Musim ini adalah kebanyakan dari kita akan menghadapi peperiksaan, jika ada yang terfikir untuk berserah sebelum berusaha, berhentilah! Contohilah para sahabat yang berusaha siang dan malam. Tuntutlah ilmu kerana Allah, dan InsyaALLAH segala bebanan yang dirasakan akan menjadi lebih ringan.

Curahkanlah tenagamu dengan penuh keimanan, bahawa inilah kewajipan dan peranan kita. Kewajipan dan peranan selesai di sana, ketika kamu menanam di muka bumi, bukanlah ketika memetiknya. Berusahalah, dan serahkan pada Allah tentang hasilnya.

Jika anda bertanya pada saya apakah petua-petua untuk menghadapi peperiksaan pada kali ini, bagi saya, hadis ini haruslah difahami dan dipraktikkan oleh setiap insan yang bergelar muslim dan ingin mencapai kejayaan bagi Islam. Marilah, mari bersama- sama kita menanam biji buah tamar di dunia ini, sebelum sampainya masa kita untuk bertemu dengan Allah SWT.

Farah Inani

Aktivis ISMA India

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s