Ulasan Sesi Perkongsian bersama Timb. Presiden ISMA

SLOT  1 : REALITI MALAYSIA HARI INI

Kecamukan politik jelas terjadi dalam pentadbiran negara. Sedangkan kita tahu bahawa politik adalah salah satu cabang ke arah kesyumulan Islam itu sendiri. Andai kestabilan politik itu tidak dicapai, adakah keamanan dan kemakmuran sesebuah negara Islam itu sudah direalisasikan. Masalah perpecahan umat Islam semakin meruncing di negara kita. Majoriti umat Islam di negara kita adalah bangsa Melayu. Pengwujudan pelbagai  parti politik di Malaysia adalah salah satu faktor kepada perpecahan ini. Sebagai akibatnya, kepentingan Melayu Islam semakin terjejas, cubaan penghapusan bangsa terjadi dan wujudnya pluralism agama.

Kemelut ekonomi juga berlaku dalam realiti Malaysia sekarang. Pemboloton ekonomi lebih tertumpu kepada golongan bukan Melayu. Bangsa Cina banyak mempelopori ekonomi negara. Mungkin sikap bangsa Melayu juga menjadi isu di sini. Sikap sukar melihat bangsa sendiri maju ke hadapan dan sikap yang tidak suka bersaing mungkin adalah punca kemelut ekonomi yang terjadi di Malaysia.

Kekeliruan ideologi juga wujud di Malaysia. Istilah pluralism, liberalism, humanism, dan kapitalism dan perlaksanaannya juga semakin melata di negara kita. Tidak dilupakan juga isu penting yang semakin ditakuti oleh orang Islam di Malaysia ialah isu kebangkitan Syiah. Kini, realitinya pengikut kuat Syiah sudah mencapai  30,000 orang di Malaysia. Ini telah menggerunkan pihak kerajaan Malaysia sendiri. Selain itu, kekeliruan ideologi juga telah menjadikan umat Islam kini tidak mengenal jati diri mereka.

Kelesuan dakwah dapat dilihat juga dalam realiti Malaysia hari ini. Program-program dakwah semakin pudar. Pemerintah-pemerintah lebih gemar membicarakan isu-isu politik daripada isu-isu agama. Walaupun isu politik juga penting dalam agama, namun isu-isu yang lebih gemar diperkatakan adalah mengenai politik yang tidak ada penyelesaiannya yang hakiki. Ini hanya melaga-lagakan antara mereka semata.

SLOT 2 : PERANAN KITA

1)      Bacalah dengan nama Tuhanmu

Analogi ini adalah analogi sempena  peristiwa wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi SAW. Dakwah sukar untuk dilaksanakan tanpa ilmu yang luas dalam kepelbagaian bidang. Bukan sahaja bertumpu ke dalam bidang agama, namun isu-isu semasa juga perlu sentiasa berada dalam kotak fikiran kita. Dengan itu, kita akan lebih senang untuk menyelami jiwa dan minat umat masa kini. Dakwah masa hadapan adalah dakwah yang bersumberkan ilmu pengetahuan yang luas. Dengan itu, bacalah! Membaca adalah salah satu sumber untuk mengutip ilmu pengetahuan yang luas.

2)      Bukan kamu yang memanah

Maksud kepada kenyataan di atas adalah memfanakan diri dengan kekuatan Allah. Analogi ini ada kaitannya dengan peristiwa perang Badar. Panahan para sahabat pasti akan mengenai musuh Islam. Jelas, kekuatan itu adalah kekuatan dari Allah, bukan dari diri manusia yang serba lemah ini. Jadi, leburkan diri kerana kekuatan itu dari Allah SWT. Hidayah adalah milik Allah, bukan dari kata-kata penceramah, mahupun ustaz. Terapkan dalam diri, sikap FIKIR, BUAT dan SERAH kepada ALLAH SWT.

3)      Jangan biar serigala menerkam

Kenyataan ini menerangkan bahawa dakwah memerlukan sokongan dari banyak pihak. Kehebatan fikrah seseorang, tidak mampu dia menongkah arus kefasadan seorang diri. Dakwah perlu dilakukan secara berjemaah, kerana kekuatan berdakwah perlu disokong oleh kepelbagaian kemampuan individu. Selain itu, kita juga boleh menjalinkan hubungan dengan kepelbagaian NGO-NGO dari luar negara. Kita kutip segala pengalaman dari mereka dan juga menjalinkan ukhuwwah dengan mereka.

4)      Kamu adalah Usamah bin Zaid

Jadilah seperti Usamah bin Zaid. Setiap kali amanah yang diberikan kepada beliau, pasti beliau akan memegang dan melaksanakannya. Sikap amanah Usamah dapat dilihat dalam banyak peperangan Islam menentang musuh seperti perang Khandak, Mu’tah, dan peperangan dengan Rom. Sikap inilah yang patut dicontohi oleh kita selaku generasi yang akan menyandang tanggungjawab kepada negara. ‘Kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab ke atas apa yang kamu pimpin’.

5)      Tunjukkan aku pasar

Tunjukkan aku ke pasar adalah salah satu iktibar dari kisah Abdurrahman bin Auf selepas penghijrahan ke Madinah. Beliau menolak secara berhikmah akan tawaran dari saudaranya, Saad Bin Rabi’, malah meminta supaya ditunjukkan pasar kepadanya. Kebijaksaannya dan bakatnya dalam berniaga serta sikapnya yang dermawan perlu dicontohi oleh generasi kita ini. Dakwah bukan untuk duit, namun duit perlu untuk dakwah.

6)      Lembutkan jari-jemarimu

Kenyataan ini bermaksud, menulislah kerana kalam yang berbicara lebih tajam dari lidah yang berkata. Penulisan adalah salah satu media dakwah yang hebat. Karya penulisan yang mudah difahami mampu memberi impak yang besar kepada anak muda kini. Maka, taburkan jasamu dalam bidang penulisan andai itu yang kamu mampu sebagai satu dari usaha murnimu dalam dakwah.

Demikian sahaja ulasan saya kepada perkongsian dari Tuan Haji Aminuddin Yahya. Selamat beramal dan berdakwah wahai kalian semua.

Bersama membina generasi harapan.

Unit Media ISMA India

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s