Monthly Archives: June 2011

Salam imtihan!!!

Salam imtihan untuk ikhwah dan akhawwat India. Semoga dalam redha Allah sentiasa… DOA+ USAHA+ TAWAKKAL = KEJAYAAN

InsyaAllah! Amin…


Advertisements

Bekerjalah! Walaupun Kiamat seketika nanti

“ Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala.” (HR: Al-Bukhari)

Pelik! Pelik! Hadis ini memang pelik!

Andaian kita

Apabila kita mendengar permulaan hadis ini, “ Sekiranya berlaku kiamat….”, kita sangka Rasulullah SAW akan menyambung sabdanya sebegini…

“… haruslah manusia beramal…”

“…haruslah manusia membersihkan jiwa dan perlakuan mereka..”

“… mintalah keampunan dari Tuhanmu, atas dosa yg dilakukan…”

“.. bertawajjuhlah kpd Allah dgn doa yg ikhlas agar dimatikan dalam keadaan iman dan diterima taubat dan dibangkitkan atas petunjuk…”

“..tinggalkanlah urusan dunia. Lakukanlah amalan akhirat, berzikirlah pada Allah…”

Alangkah leganya kita jika Rasulullah telah bersabda sedemikian.. jika berlaku kiamat, mintalah keampunan. Memang sudah menjadi fitrah manusia apabila dalam ketakutan dia akan melupakan dunia dan seisinya, malah fokus untuk mencari tuhannya. Dia akan merayu pada waktu itu juga agar dosa- dosanya yang keji itu diampunkan. Mereka terus lupa pada DUNIA..

TETAPI …

Rasulullah tidak bersabda seperti “Andaian kita” di atas…. Rasulullah SAW sebaliknya bersabda perkara yang amat menghairankan dan tidak terlintas di hati manusia… Continue reading

Antara memaafkan dan meminta maaf

Semudah bicara membicarakan perihal ini. Namun, tidak semudah perbuatan melaksanakannya. Andai diberi pilihan antara meminta maaf dan memaafkan, mana satu yang lebih mudah dilaksanakan oleh pembaca? Pasti ramai yang antaranya akan berkata, “ Rasanya, minta maaf tu lagi mudah dari memaafkan.” Tidak juga terkecuali yang akan menyokong, “ Memaafkan tu lebih mudahlah. Nak minta maaf susah! Nanti jatuhlah ego saya.” Kata-kata ini hanyalah lahir dalam jiwa kita.

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Al-Imran; ayat 133-134)

Fikirkan sejenak, di mana kehebatan kita andai dua-dua pun kita tidak sanggup melaksanakannya. Fenomena ini pasti pernah dirasai semua dan saya yakin! Insan yang diciptakan Allah ini tidak sempurna, namun ingat! Hidup ini sudah cukup sempurna kerana itulah kurniaan Allah yang terbaik buat kita. Jangan menyalahkan takdir andai kedua-duanya kita tidak rela melaksanakannya.

Meminta maaf, kunci tenang dan bahagia

Fitrah insan adalah melakukan kesalahan demi kesalahan dan dosa demi dosa. Kita tidak akan pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Terkadang, tanpa kita sedari kita telah melukai hati sahabat ataupun keluarga kita sendiri. Namun, sering sekali kita lupa untuk meminta maaf dari mereka yang kita lukai. Tidak terkecuali juga bagi kita sebagai hamba Allah yang kerap kali membuat dosa kepadaNya. Mintalah keampunan dariNya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Sabda Baginda SAW,

“Sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu.” – HR. Tirmizi & Abu Daud.

Namun bagaimana pula dengan dosa sesama manusia? Kita akan rasa gundah apabila kita telah melakukan sesuatu kesalahan pada orang lain. Terkadang apabila tidak meminta maaf, kesalahan itu boleh menghantui diri kita sendiri. Tidak  kiralah kecil ataupun besarnya kesalahan itu. Tindakan yang paling bijak adalah meminta maaf dari orang yang kita aniayai itu. Semakin lama kita memendamkan kesalahan itu, semakin sukar kita ingin mengakuinya. Adalah lebih baik, ampunan itu diminta dengan kadar yang segera.

Sikap meminta maaf adalah sangat wajar kerana kesalahan itu kita yang melakukannya. Keikhlasan hati yang terbuka untuk meminta maaf perlu disemai dalam tiap-tiap jiwa orang Muslim. Ketenangan dan kebahagiaan pasti akan menjadi milik kita kerana satu bebanan dosa telah kita keluarkan dari hati. Semoga Allah mengampunkan kekhilafan kita ini. Dan semoga saudara seIslam kita juga memaafkan kita di atas segala dosa dan kesalahan kita. Jadilah insan yang bahagia dan tenang dalam menghadapi hidup sehari-harian kita ini.

Memaafkan itu sifat mulia

“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (As-Syuraa; ayat 40)

Dalil yang jelas menunjukkan sikap memaafkan adalah sangat-sangat dianjurkan oleh Islam. Namun, masih ada segelintir kita masih belum sedar akan kepentingan memaafkan orang. Bagaimana pula bagi yang mengatakan bahawa, “Aku dah maafkan, tapi aku masih tak boleh lupakan kesalahan dia pada aku.”? Di sini kekuatan jiwa dan kebesaran hati diperlukan. Cuba kita hayati,

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (As-Syura; ayat 30)

“Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (An-Nisa’; ayat 149)

Dan apa lagi yang kita mahu buktikan? Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pemaaf. Kita ini hanya hamba yang selayaknya memaafkan insan lain. Keegoaan itu hanyalah mainan perasaan yang menghalang banyak kebaikan dari berlaku. Sejauh mana kita mahu meletakkan keegoan itu melebihi keindahan berukhuwwah. Dugaan memaafkan kesalahan orang lain adalah antara dugaan yang besar bagi umat manusia, diciptakan untuk menguji kehebatan iman dan kesabaran kita. Melupakan kesalahan orang lain adalah satu ketenangan yang akan hadir dalam diri apabila ia diserasikan dengan kesabaran dan redha kita.

Antara memaafkan dan meminta maaf, kedua-duanya sukar namun perlu dijadikan satu rencah dalam norma kehidupan kita. Percayalah! Anda akan menjadi insan yang bahagia. Tidak akan ada lagi kebencian dan dendam dalam jiwa andai kata maaf itu betul-betul dipraktikkan.

  Hidup muafakat menjadi amalan,                                                                                     Islam dijulang penuh kesepakatan,                                                                                 Maaf-memaafi ibadah tuntutan,                                                                                Bersama membina generasi harapan.

Unit Media ISMA India

Hiking Akhawwat!

Malikadurga Hill terletak 60km dari bandar Bangalore…

Jom ikuti kami ber’hiking’! sama-sama sihatkan badan (Qawiyyul Jism)! Dakwah memerlukan kekuatan tubuh badan… =)

“ Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah dari pada mukmin yanglemah dalam setiap amal kebaikan “ (Diriwayatkan oleh Muslim)

Membina generasi harapan

Unit Media ISMA India

Ulasan Sesi Perkongsian bersama Timb. Presiden ISMA

SLOT  1 : REALITI MALAYSIA HARI INI

Kecamukan politik jelas terjadi dalam pentadbiran negara. Sedangkan kita tahu bahawa politik adalah salah satu cabang ke arah kesyumulan Islam itu sendiri. Andai kestabilan politik itu tidak dicapai, adakah keamanan dan kemakmuran sesebuah negara Islam itu sudah direalisasikan. Masalah perpecahan umat Islam semakin meruncing di negara kita. Majoriti umat Islam di negara kita adalah bangsa Melayu. Pengwujudan pelbagai  parti politik di Malaysia adalah salah satu faktor kepada perpecahan ini. Sebagai akibatnya, kepentingan Melayu Islam semakin terjejas, cubaan penghapusan bangsa terjadi dan wujudnya pluralism agama.

Kemelut ekonomi juga berlaku dalam realiti Malaysia sekarang. Pemboloton ekonomi lebih tertumpu kepada golongan bukan Melayu. Bangsa Cina banyak mempelopori ekonomi negara. Mungkin sikap bangsa Melayu juga menjadi isu di sini. Sikap sukar melihat bangsa sendiri maju ke hadapan dan sikap yang tidak suka bersaing mungkin adalah punca kemelut ekonomi yang terjadi di Malaysia.

Kekeliruan ideologi juga wujud di Malaysia. Istilah pluralism, liberalism, humanism, dan kapitalism dan perlaksanaannya juga semakin melata di negara kita. Tidak dilupakan juga isu penting yang semakin ditakuti oleh orang Islam di Malaysia ialah isu kebangkitan Syiah. Kini, realitinya pengikut kuat Syiah sudah mencapai  30,000 orang di Malaysia. Ini telah menggerunkan pihak kerajaan Malaysia sendiri. Selain itu, kekeliruan ideologi juga telah menjadikan umat Islam kini tidak mengenal jati diri mereka.

Kelesuan dakwah dapat dilihat juga dalam realiti Malaysia hari ini. Program-program dakwah semakin pudar. Pemerintah-pemerintah lebih gemar membicarakan isu-isu politik daripada isu-isu agama. Walaupun isu politik juga penting dalam agama, namun isu-isu yang lebih gemar diperkatakan adalah mengenai politik yang tidak ada penyelesaiannya yang hakiki. Ini hanya melaga-lagakan antara mereka semata.

SLOT 2 : PERANAN KITA

1)      Bacalah dengan nama Tuhanmu

Analogi ini adalah analogi sempena  peristiwa wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi SAW. Dakwah sukar untuk dilaksanakan tanpa ilmu yang luas dalam kepelbagaian bidang. Bukan sahaja bertumpu ke dalam bidang agama, namun isu-isu semasa juga perlu sentiasa berada dalam kotak fikiran kita. Dengan itu, kita akan lebih senang untuk menyelami jiwa dan minat umat masa kini. Dakwah masa hadapan adalah dakwah yang bersumberkan ilmu pengetahuan yang luas. Dengan itu, bacalah! Membaca adalah salah satu sumber untuk mengutip ilmu pengetahuan yang luas.

2)      Bukan kamu yang memanah

Maksud kepada kenyataan di atas adalah memfanakan diri dengan kekuatan Allah. Analogi ini ada kaitannya dengan peristiwa perang Badar. Panahan para sahabat pasti akan mengenai musuh Islam. Jelas, kekuatan itu adalah kekuatan dari Allah, bukan dari diri manusia yang serba lemah ini. Jadi, leburkan diri kerana kekuatan itu dari Allah SWT. Hidayah adalah milik Allah, bukan dari kata-kata penceramah, mahupun ustaz. Terapkan dalam diri, sikap FIKIR, BUAT dan SERAH kepada ALLAH SWT.

3)      Jangan biar serigala menerkam

Kenyataan ini menerangkan bahawa dakwah memerlukan sokongan dari banyak pihak. Kehebatan fikrah seseorang, tidak mampu dia menongkah arus kefasadan seorang diri. Dakwah perlu dilakukan secara berjemaah, kerana kekuatan berdakwah perlu disokong oleh kepelbagaian kemampuan individu. Selain itu, kita juga boleh menjalinkan hubungan dengan kepelbagaian NGO-NGO dari luar negara. Kita kutip segala pengalaman dari mereka dan juga menjalinkan ukhuwwah dengan mereka.

4)      Kamu adalah Usamah bin Zaid

Jadilah seperti Usamah bin Zaid. Setiap kali amanah yang diberikan kepada beliau, pasti beliau akan memegang dan melaksanakannya. Sikap amanah Usamah dapat dilihat dalam banyak peperangan Islam menentang musuh seperti perang Khandak, Mu’tah, dan peperangan dengan Rom. Sikap inilah yang patut dicontohi oleh kita selaku generasi yang akan menyandang tanggungjawab kepada negara. ‘Kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab ke atas apa yang kamu pimpin’.

5)      Tunjukkan aku pasar

Tunjukkan aku ke pasar adalah salah satu iktibar dari kisah Abdurrahman bin Auf selepas penghijrahan ke Madinah. Beliau menolak secara berhikmah akan tawaran dari saudaranya, Saad Bin Rabi’, malah meminta supaya ditunjukkan pasar kepadanya. Kebijaksaannya dan bakatnya dalam berniaga serta sikapnya yang dermawan perlu dicontohi oleh generasi kita ini. Dakwah bukan untuk duit, namun duit perlu untuk dakwah.

6)      Lembutkan jari-jemarimu

Kenyataan ini bermaksud, menulislah kerana kalam yang berbicara lebih tajam dari lidah yang berkata. Penulisan adalah salah satu media dakwah yang hebat. Karya penulisan yang mudah difahami mampu memberi impak yang besar kepada anak muda kini. Maka, taburkan jasamu dalam bidang penulisan andai itu yang kamu mampu sebagai satu dari usaha murnimu dalam dakwah.

Demikian sahaja ulasan saya kepada perkongsian dari Tuan Haji Aminuddin Yahya. Selamat beramal dan berdakwah wahai kalian semua.

Bersama membina generasi harapan.

Unit Media ISMA India

Sesi Perkongsian bersama Timb. Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahya

Alhamdulillah. Kunjungan dari pihak ISMA di Malaysia membuahkan seribu satu semangat yang baru untuk para pelajar agar lebih peka tentang isu semasa negara. Pada 12 Jun 2011, hari Ahad telah diadakan satu sesi perkongsian dari Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahya yang  bertajuk “Realiti Malaysia Hari ini dan Peranan Kita”. Bertempat di surau- Muhajirin Islamic Education Centre (MIEC) dengan kehadiran sejumlah pelajar  yang sukar melepaskan peluang untuk membuka minda mereka tentang apa yang berlaku di Malaysia kini. Sesi perkongsian ini terbahagi kepada dua slot yang amat menarik untuk pembangunan sahsiah diri pelajar itu sendiri.

Slot pertama diberi tajuk, “Realiti Malaysia Hari ini”. Ramai antara kita kabur dengan apa yang berlaku di negara sendiri. Kita lebih berminat dengan isu yang tidak membejatkan fikiran, padahalnya realiti apa yang berlaku kini hakikatnya ia adalah suatu yang begitu mustahak untuk generasi penerus pentadbiran negara. Tuan Haji Aminuddin telah merumuskan realiti Malaysia hari ini dengan kaedah 4K. Kecamukan politik, kemelut ekonomi, kekeliruan ideologi dan juga kelesuan dakwah.

Slot kedua diberi tajuk “Peranan Kita” membincangkan peranan kaum remaja kini dalam menghadapi realiti negara pada hari ini. Tuan Haji Aminuddin telah menekankan satu prinsip, ‘Prinsip Burung Pipit yang Mulia’. Di ambil sempena iktibar kisah burung pipit dengan Nabi Ibrahim. Burung pipit yang berusaha melaksanakan tanggungjawab kepada Allah membantu memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim AS. Dibawanya air ke dalam paruhnya yang kecil walaupun ia sedar, dirinya juga sangat kecil. Namun, semangatnya yang tinggi perlu diikuti oleh kita di sini kerana walaupun sebesar mana dugaan dan cabaran yang Allah berikan, dan usaha sekecil manapun daripada kemampuan kita, perlu kita laksanakan kerana itu tanggungjawab muslim khususnya.

Tujuan hidup yang Allah kurniakan pada kita tidak lain dan tidak bukan adalah, ‘DAKWAH, DAKWAH, DAKWAH’. Jadikan dakwah itu sebati dengan darah dan jiwa kita. Namun, bagaimana untuk merealisasikan prinsip itu dalam jiwa kita? Tuan Haji Aminuddin juga berkongsi tentang bagaimana peranan kita dalam dakwah.

Antara kaedahnya adalah bacalah dengan nama Tuhanmu, bukan kamu yang memanah, jangan biar serigala menerkam, kamu adalah Usamah bin Zaid, tunjukkan aku pasar dan lembutkan jari-jemarimu.

Semoga dapat dipraktikkan ke dalam diri kita sebagai pendakwah masa kini. Bersama membina generasi harapan.

Unit Media ISMA India

Kunjungan Kedua ISMA India ke Consulate General of Malaysia, Chennai Eratkan Hubungan

Chennai 10 Jun 2011 – ISMA India telah mengadakan kunjungan hormat  ke Consulate General of Malaysia di Chennai. Kunjungan ini merupakan kunjungan hormat yang kedua selepas kunjungan pertama pada April lepas.

Delegasi ISMA India kali ini disertai oleh Timbalan Presiden ISMA, Hj Aminuddin Yahya serta tiga wakil ISMA India. Sambutan hangat telah diberikan oleh pihak Consulate yang diwakili oleh Konsul General, En Anwar Kasman dan Konsul Pendidikan, En Khairuddin Hj Abdullah.

Dalam pertemuan selama hampir satu jam itu Hj Aminuddin Yahya telah berkongsi matlamat yang ingin dicapai ISMA terutamanya berkaitan dengan isu kesatuan dan survivability orang Melayu Islam. En Anuar Kasman member maklum balas yang positif dan menaikkan isu survivability orang Melayu di dalam bidang ekonomi.

Penerangan tentang fokus-fokus ISMA yang lain turut dikongsi seperti mewujudkan keluarga sejahtera yang islami lantas menyelamatkan remaja melalui institusi keluarga. Selain itu isu usaha ISMA untuk membina jati diri pelajar di India juga turut disentuh.

Lawatan ringkas ini disusuli dengan jamuan tengahari secara santai di restoran Pelita bersama staf-staf Konsulat yang lain. Diharapkan hubungan yang terjalin ini akan membuahkan pelbagai lagi bentuk kerjasama di antara ISMA India dan pihak Consulate General of Malaysia Chennai.

Membina Generasi Harapan

Anas Aminin W M Izzuddin

Timbalan Pengerusi ISMA India