Penilaian seseorang, pada kitakah?

Sikap menilai terkadang wujud dalam diri seorang manusia. Namun, sejauh mana kelayakan kita dalam menilai seseorang? Sempurna sangatkah iman kita sehingga kita mampu menilai iman seseorang itu?

“Uish, tengok budak tu… kerjanya asyik melepak je. Tak sedar lagi ke yang tabiat tu membuang masa? … tengok aku ni,  sekurang-kurangnya aku pergi masjid.” Monolog seorang insan.

Kenapa saya utarakan monolog di atas? Mungkin manusia tidak sempurna. Sering melakukan dosa dan kesalahan. Namun, kita tidak layak untuk menggelarkan kita lebih baik dari orang lain. Iman itu hanya Allah sahaja yang mampu menilainya. Keikhlasan amalan dan perbuatan hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. MasyaAllah, SubhanAllah. Mungkin juga kata-kata ini pernah terlintas di hati-hati kita. Betapa riaknya, betapa takaburnya hambaMu ini Ya Allah. Sedangkan kita tahu bahawa semua umat Islam adalah sama sahaja. Hanya membezakan kita adalah amalan dan iman kita.

Ikhlaskah kita dalam melakukannya? Ataupun sekadar ingin orang melabelkan sebagai ‘budak ini baik’. Niat kita untuk apa sebenarnya? Bukankah sesuatu amalan itu bermula dgn niat. Kalau apa yang diniatkan itu betul, maka itu yg kita dapat, dan andai kita melaksanakannya maka bertambahlah ganjarannya. Jika niat kita kerana Allah, insyaAllah redha Allah itu tetap bersama orang-orang yang bertaqwa di sisiNya.

“Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasulnya dan barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia ingin memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan”. (HR Bukhari dan Muslim)

Bukan jua pangkat yang membezakannya. Adakah dengan seandainya kita memegang jawatan yang agak besar dan dihormati, baru kita nak ke surau? nak ke masjid? nak ke tempat ilmu? Bukan itu juga caranya. Hakikatnya, kita adalah sama sahaja. Tidakkah umat Islam itu amanahnya adalah ibadat kepada Allah? Firman Allah,

“Tidak aku menjadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepadaku”. (Surah Adz Dzaariyaat; 56)

Tak kira siapa sekalipun kita. Andai kata kita ini petani, kerani, bos, atau wakil rakyat sekalipun, tetap tanggungjawab itu hanya pada Allah. Segala kebaikan itu hanya dilakukan kerana Allah. Sikap menganggap diri sempurna perlu dikikis agar jiwa dan hati tetap pada Allah dan bersih dari sikap ujub dan takabur. Lebih elok lagi kita ambil pendekatan mengajak bersama ke arah kebaikan dan meninggalkan keburukan. Itu juga merupakan salah satu konsep dakwah sebenarnya. Bukankah semua umat Islam itu bersaudara? Bukan diri sahaja yang perlu baik dan soleh, namun perlu juga mengajak orang disekeliling kita. Itu juga tanggungjawab umat Islam itu sendiri. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah SWT (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali Imran, ayat 110) 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah SWT Maha berat azab seksanya.”
(Surah al-Anfal, ayat 25)

Islam adalah agama bersama. Dengan menganggap diri sudah cukup baik, adakah kita layak digelar baik jika orang disekeliling kita tidak tahu mana hala tujunya? Umat Islam sememangnya hidup dalam berjemaah. Ramai-ramai bersatu hati dalam mengagungkan Allah. InsyaAllah kita bersama-sama memartabatkan agama Islam kita kembali. Kembali ke zaman kegemilangannya, zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. InsyaAllah. AMIN.

Satu lagi dialog yang perlu kita buang dari jiwa kita,
“Ahh… mentang-mentang dah ikut usrah, tiba-tiba dah jadi baik. Pergi surau la. Pergi dengar ceramah la…”

Jelas, hidayah itu milik Allah. Kita tidak ada hak untuk mempertikaikannya. Mungkin, insan itu ikhlas melakukan ibadat kerana Allah. Kita tak ada hak untuk memburukkannya. Sikap sedemikianlah yang menjerumuskan hati dalam keegoaan jiwa. Mungkin hati kita pun menginginkan keindahan manisnya iman itu. Tetapi, disebabkan keegoan itu, kita tetap berkeras menolaknya. Bukankah elok jika kita bersama melakukan ibadah itu kerana Allah. Apa yang kita jahil, bersama kita pelajarinya. Cuba bayangkan, manisnya iman kerana Allah disamping ukhuwwah antara sesama Islam menjadi kuat.

“Sesiapa daripada kamu yang ternampak kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya atau mencegahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya dia tidak mampu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) juga dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Wallahualam…

Unit Media ISMA India

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s