Buku : Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah

Alhamdulillah, kali ini kita berpeluang berkongsi mengenai rintangan orang kafir yang memerangi pendakwah. Sebenarnya rintangan ini adalah rintangan ketiga yang dibincangkan dalam buku yang bertajuk “Rintangan Perjuangan dalam Kehidupan Pendakwah” oleh Fathi Yakan. Syukur yang teramat kerana diberi peluang untuk membedah buku ini bersama kakak usrah kami.

Saya memilih rintangan ketiga kerana tertarik dengan huraian mengenainya. Di bawah rintangan ini, perbincangan tertumpu kepada lima subtopik kecil iaitu:

1)      Nabi dan komplot orang kafir

2)      Rasul dan konspirasi orang kafir

3)      Para sahabat dan tipu daya orang-orang kafir

4)      Penderitaan pemimpin dan para du’at sepanjang sejarah

5)      Tribulasi para da’ei zaman moden

Dalam melayari sebuah kehidupan di bumi Malaysia yang berbilang kaum, memang tidak dinafikan isu demi isu yang melibatkan agama dan bangsa sering dipertikaikan.  Sejauh mana kita memandang isu ini sebagai isu yang penting ataupun isu yang hanya dipandang enteng dalam sesebuah pentadbiran yang berbagai kaum. Semuanya bukan hanya terletak pada pemimpin semata-mata, malah individu juga terlibat sama, lebih-lebih lagi para pendakwah yang menggalas suatu tanggungjawab yang berat dan begitu mencabar.

Rintangan ini bukanlah perkara baru, malah ia sudah lama dijadikan satu sejarah dan teladan sejak zaman para Anbiya’ dahulu lagi. Pelbagai rintangan yang terpaksa mereka hadapi demi mempertahankan agama akidah iaitu agama penyembahan kepada Allah yang satu. Saya bawakan perbincangan ini dari satu subtopik kepada satu subtopik yang lain.

Nabi dan Komplot Orang Kafir

Sejarah para nabi yang terdahulu banyak mengajar kita tentang semangat mempertahankan agama Allah walaupun ditentang hebat oleh orang kafir yang keras hatinya dalam menerima apa yang disampaikan oleh para nabi. Pelbagai nikmat yang Allah sediakan melalui perantaraan pesuruhnya iaitu para nabi kepada hambaNya, namun pendustaan demi pendustaan yang mereka berikan terhadap nabi Allah. Memang sejak dahulu lagi, golongan kafir ini mengingkari perintah Allah malah terkenal dengan sifatnya yang angkuh.

Antara sejarah yang dapat kita kutip iktibarnya adalah kisah Nabi Ibrahim AS yang tidak pernah berputus asa menyeru kaumnya agar meninggalkan sembahan berhala dan supaya tunduk pada Allah SWT. Firman Allah,

“Maka tidak adalah jawapan kaum Ibrahim, selain mengatakan “Bunuhlah atau bakarlah dia lalu Allah menyelamatkannya dari api. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda Kebesaran Allah bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Al Ankabut: Ayat 24)

Selain itu, Nabi Isa AS juga tidak pernah jemu mengajak kaum Bani Israel agar menyembah Allah SWT. Seperti dalam Al-Quran,

“Sesungguhnya Allah Tuhanku dan Tuhanmu, kerana itu sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus.” (Surah Ali-Imran: Ayat 51)

Rasul dan konspirasi orang kafir

Rasulullah SAW ialah kekasih Allah yang banyak menerima cabaran dan dugaan dari Allah dalam menyebarkan agama Islam. Penindasan golongan kafir Quraisy terhadap baginda sangat hebat sehingga mereka sanggup merancang untuk membunuh baginda di tempat tidurnya sewaktu sebelum baginda berhijrah ke Madinah.

“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) menyusun tipu daya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu, mereka memikirkan tipudaya dan Allah menggagalkan tipudaya itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipudaya.” (Surah Al-Anfal: Ayat 30)

Di samping itu, baginda juga diancam hebat ketika berhijrah ke Ta’if kerana golongan kafir menggunakan anak-anak muda untuk melemparkan batu ke arah baginda dan menyakitinya.

Ada juga ketikanya pada suatu hari, sedang baginda berjalan dan tiba-tiba orang musyrik yang duduk di Masjidil Haram melompat bangun menghadang dan mengelilingi baginda.

Mereka membentak, “Kaukah orang yang pernah berkata begini dan begitu?” Rasulullah pun menjawab; “Ya,akulah orang yang mengatakan demikian itu.” Pada hari itu baginda telah dipukul beramai-ramai oleh orang-orang kafir. Kalaulah tidak dengan takdir Allah Abu Bakar datang meleraikan mereka, nescaya baginda mungkin mati dikerjakan oleh orang-orang musyrik tersebut.

Selain itu, setelah hijrah ke Madinah, Safuan Bin Umaiya mengupah salah seorang kafir Quraisy yang bernama Umair bin Wahab untuk membunuh Rasulullah. Safuan berjanji akan menglangsaikan hutang Umair andai dia berjaya membunuh Rasulullah SAW. Namun, Allah telah mendedahkan segala tipu muslihat  dan rancangan Umair dan Safuan. Rasulullah SAW bertanya kembali kepada Umair tentang apakah tujuan kedatangannya. Allah yang Maha Berkuasa telah menahannya dari melakukan perbuatan itu. Akhirnya, Umair akur dan menerima kebenaran Rasulullah SAW dan memeluk Islam.

Untuk subtopik seterusnya, InsyaAllah pada post kemudiannya…

Unit Media ISMA INDIA

Nur Akmal binti Ismail

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s