Jom turun ke padang

Beberapa hari yang lalu saya berpeluang bermain bola bersama beberapa remaja selepas dijemput untuk memberikan ceramah motivasi kepada mereka. Beriadah bersama remaja adalah salah satu aktiviti yang sangat saya nantikan jika diberikan peluang. Walaupun keinginan mempersembahkan permainan terbaik begitu kuat di hati, namun kekuatan stamina orang 40-an ini pastinya tidak setangkas kebanyakan mereka yang bermain di padang pada pagi tersebut.

Namun mengharukan saya apabila beberapa remaja keluar terlebih awal kerana ‘pancit’ walaupun baru berusia belasan tahun. Nah… bagaimana anak muda ini akan mendepani tugasan kebajikan dan dakwah yang lebih berat apabila kita cepat ‘pancit’ dengan permainan berbentuk fizikal seumpama bermain bola ini.

Kesihatan yang baik adalah satu keperluan hidup yang asasi dan mesti dijaga oleh semua. Apatah lagi buat mereka yang bergelar aktivis dakwah. Ramai di kalangan aktivis mampu menjaga solat dan aktiviti-aktiviti dakwah serta mampu memenuhi apa jua jadual yang dirancangnya tetapi kurang berjaya atau gagal di dalam merancang dan menjaga kesihatan tubuh badannya.

Acap kali kita perhatikan betapa ramai di kalangan aktivis dakwah yang tidak menjaga kesihatan badannya. Apa tidaknya apabila aktivis yang sibuk ini sentiasa terlepas daripada aktiviti-aktiviti berbentuk fizikal seperti beriadah tetapi di dalam masa yang sama kerap pula disajikan dengan jamuan dan juadah yang pelbagai yang begitu menyelerakan. Pendakwah muda ini juga sebagaimana rakan-rakan segenerasinya semakin banyak menghabiskan masanya dengan aktiviti sosial di alam siber dengan melayari internet dan ber’facebook’ daripada menjalani aktiviti rekreasi fizikal yang mengeluarkan peluh.

Natijahnya, belum lagi sampai umur 40-an maka para aktivis ini mula pancit dari sebarang aktiviti berbentuk fizikal. Lebih menyedihkan lagi apabila semakin ramai di kalangan aktivis muda ini mula mengidap penyakit darah tinggi, kencing manis, kegemukan dan kadar kolesterol yang tinggi di dalam badan. Bagaimana objektif risalah ini akan sampai sekiranya para aktivis sendiri mula sakit-sakit di dalam usia yang sebegitu muda.

Imam as-Syahid Hassan al-Banna pernah menasihatkan para pendakwah dengan katanya, “Hendaklah kamu sentiasa membuat pemeriksaan am kesihatan dan mendapat rawatan setiap penyakit yang dihidapi, juga mementingkan unsur-unsur kekuatan dan pencegah penyakit jasmani dan menjauhi unsur-unsur pembawa penyakit.”

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud:

“Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Tirmidzi dan Ibn Majah)

Biasanya selepas sesuatu yang berharga itu tiada, barulah kita menghargai bernilainya nikmat berkenaan. Begitu juga dengan nikmat kesihatan, selepas kita diuji dengan kesakitan, baru berasa beruntungnya dengan nikmat yang dimiliki selama ini.

Setelah menginjak ke tahun baru, bukan setakat menyimpan azam dan impian dari segenap segi kehidupannya tetapi usahlah dilupakan juga kesihatan diri yang bakal menjamin impian para pendakwah agar objektif mulia ini bakal menjadi kenyataan.

Jom turun ke padang…

Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib Presiden I
Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-Medik)

* Beliau juga adalah merupakan Naib Yang Dipertua ISMA Cawangan Seremban.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s