Masa yang banyak, apakah agenda yang mengisinya?

Setelah menempuh alam pekerjaan, saya banyak kali berfikir adakah saya telah menggunakan masa sebagai pelajar dahulu dengan baik? Atau saya hanya bazirkan semata-mata untuk memenuhi kehendak nafsu diri dan sahabat-sahabat?

Setelah menempuh alam pekerjaan, saya tidak ada masa yang banyak. Setiap hari kebanyakan masa dihabiskan dengan bekerja, 8-12 jam sehari. Cuti sudah kurang, hanya 5-6 minggu setahun jadi masa perlu diurus dengan berkualiti antara keperluan diri, keluarga, organisasi dan masyarakat.

Apabila memikirkan pelajar-pelajar hari ini, saya rasa mereka sangat beruntung, mempunyai masa lapang atau cuti yang banyak lalu boleh merancang apa sahaja! Kalau belajar di Australia setahun belajar hanyalah selama 8 bulan, hampir 4 bulan atau lebih sedikit adalah masa pelajar bercuti atau berehat. Walaupun ia bergantung juga kepada kursus yang diikuti, tapi masih lagi pelajar mempunyai masa luang yang banyak.

Tetapi adakah ianya digunakan dengan sebaiknya? Sekiranya tidak, persoalannya ke manakah ia dihabiskan?

Saya suka melontarkan pandangan kepada para pelajar di alam Universiti. Cuba fikir-fikirkan semasak-masaknya, luaskan dan panjang-panjangkan pemikiran anda ke luar dari alam remaja/kanak-kanak/pelajar yang anda lalui sekarang, lalu memikirkan siapakah anda suatu hari nanti? Kerana dari situ anda akan mempunyai matlamat lalu berusaha ke arahnya. Sekiranya anda masih belum jelas matlamat hidup, carilah ia dan bincanglah dengan yang lebih berilmu dan berpengalaman, agar hidup kita tidak dibazirkan dan akan terpandu di atas jalan yang lurus.

Setiap pelajar akan menghabiskan masa 2, 3, 4, 5 atau 6 tahun di dalam alam pra-U dan Universiti semata-mata untuk segulung ijazah, agar kelak mampu mendapatkan pekerjaan, maka selamat hidup di dunia. Adakah ia betul-betul berkualiti sekiranya ia dihabiskan untuk Ijazah semata?

Sebenarnya, pada waktu inilah anda di dalam period membina peribadi dan sahsiah diri. Ia dibina berdasarkan ilmu, pemikiran dan pengalaman yang anda lalui. Ia juga dibentuk dari suasana sekeliling, rumah, keluarga, kawan-kawan, pergaulan, perbincangan dan permainan yang anda ceburi.

Pemikiran dibentuk melalui ilmu yang diraih dari pelbagai bidang dan perkara atau agenda yang dibincangkan sesama rakan-rakan. Kalau yang dibincangkan hanya berkisar artis, games, filem dan pasukan bola kegemaran yang kalah atau menang, dan permainan-permainan PICISAN di Facebook, maka apakah rasanya gambaran agenda kita itu? Di manakah agenda besar yang hendak kita bawa?

Sahsiah dibina melalui pergaulan dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat. Jadi manusia sekeliling anda akan memberi pengaruh pembentukan akhlak dan siasah anda. Rakan yang baik membentuk peribadi yang mulia, sebaliknya yang kurang baik atau bercampur-campur baik dan buruk membentuk kita ke arah itu. Sepertimana kata-kata kawan adalah cerminan diri. Lalu, berhati-hatilah memilih rakan.

Dan hadis Nabi saw telah menjelaskan: “Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak.” (Riwayat Abu Daud)

Saya menyeru agar kita menilai penggunaan masa dengan baik dan carilah suasana yang baik atau biah solehah. Peringatan dari Allah melalui surah Al-Asr jadikanlah sebagai panduan kerana setiap manusia adalah rugi melainkan ia melaksanakan syarat-syarat yang digariskan oleh Allah dalam surah ini. Beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kebenaran.

Gunakan masa dengan sebaiknya terutama semasa cuti persekolahan yang panjang ini untuk mencapai matlamat anda yang jelas demi masa depan yang lebih baik untuk diri, Agama, Bangsa dan Negara.

Dr. Mohd Ihsanuddin Abas
Timbalan Pengerusi
ISMA Australia

Sumber: Laman Web ISMA Australia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s