Aktiviti : Rehlah Siswi Anjuran ISMA India

Surah al Haj ayat 46 “

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” Allah taala memberi peringatan kepada manusia bahawa pengembaraan di atas dunia adalah sangat memerlukan kita menghayati seluruh kehidupan ini.

Bangalore, 5 December- Biro Aktiviti ISMA-India telah menganjurkan satu rehlah siswi yang bertempat di Lalbagh Garden yang terletak kira-kira 10 km dari penempatan pelajar. Rehlah ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 23 orang siswi, rata-rata terdiri daripada siswi 2nd batch hingga 5th batch.

Matlamat rehlah kali ini adalah mengukuhkan ikatan ukhuwah, meneguhkan tautan hati di kalangan siswi dan mengambil pengajaran daripada kehebatan ciptaan Allah. Di samping itu, para siswi juga dibawa untuk mengenal kehebatan dan kelebihan diri masing-masing melalui tadabbur alam.

Sebagaimana firman Allah,

“Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangi pandangan(mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan(mu) berkali-kali, nescaya pandangan(mu) itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).” ( Ayat 3 & 4 : Surah al-Mulk )

Seawal jam 7.45 pagi, para peserta mula berkumpul di hadapan pintu utama kediaman pelajar sebelum masing-masing menaiki dua buah kenderaan yang disewa khas. Perjalanan pada jam 8.15 pagi dimulai dengan bacaan doa menaiki kenderaan semoga keberkatan sentiasa mengiringi perjalanan. Perjalanan singkat yang mengambil masa kira-kira setengah jam membuatkan para peserta tidak sabar-sabar untuk tiba di  Lalbagh Garden.

Sekitar jam 8.45 pagi, kenderaan selamat tiba di Lalbagh garden. Suasana dingin dilitupi kehijauan rimbunan tumbuhan menyambut kehadiran kami semua. Segenap ruang taman diisi dengan hijau tumbuhan dan bunga-bungaan serta bukit-bukit batu yang memberikan suasana damai bagi pencinta kebesaran Allah dan bagi mereka yang berfikir.

Di bawah pohon hijau yang rendang, peserta berkumpul dalam suasana santai bagi mendengar pengisian yang akan disampaikan. Pengisian dimulakan dengan bacaan Ummul Furqan bagi memberkati majlis. Saudari Amirah memulakan pengisian dengan membawa peserta menyedari dan mensyukuri setiap nikmat yang dipinjamkan Allah terutamanya nikmat pancaindera yang  menjadi salah satu medium untuk kita mengenal dan mengkagumi kebesaran Al-Khaliq.

Biasanya kita melihat ramai mereka yang celik pandangan matanya tetapi pada masanya yang sama buta mata hatinya. Jiwanya tidak dapat melihat dan memahami hakikat kejadian alam dan kehidupan di atas muka bumi ini.

Para peserta diajak untuk sama-sama bermuhasabah adakah setiap nikmat yang diberikan digunakan di jalan yang betul? Bagaimanakah kesannya dalam kehidupan seharian jika salah satu nikmat yang diberikan secara percuma oleh Allah ditarik balik?

Sesi yang mengambil masa kira-kira 20 minit benar-benar mengusik jiwa peserta berdasarkan perkongsian rasa selepas muhasabah diri.

Pengisian diteruskan dengan aktiviti mencari daun-daun kayu yang berada di sekitar kawasan rehlah. Peserta diberikan masa kira-kira 10 minit untuk mencari daun-daun yang berlainan warna,rupa,corak dan struktur dan mereka kelihatan begitu bersungguh-sungguh.

Sesi kedua ini dikendalikan oleh Saudari Farah Inani. Apabila semua peserta berkumpul bersama daun masing-masing, setiap peserta diminta menceritakan mengenai keunikan dan ciri-ciri daun tersebut. “Dalam kawasan yang terhad, masa yang terbatas kita berjaya mengutip daun-daun yang sangat berbeza antara satu sama lain, subhanallah” kata salah seorang peserta.

Aktiviti diteruskan oleh saudari Farah dengan membawa peserta menelusuri hakikat keajaiban penciptaan manusia.

Firman Allah:

“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah. (Pati yang berasal dari tanah, ialah pati makanan yang berasal dari tumbuh-tumbuhan dan tanaman yang tumbuh di bumi).Kemudian Kami jadikan pati itu setitis air benih (air mani), pada tempat penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa ketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya (keadaannya yang asal serta ditiupkan roh padanya). Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik baik Pencipta.” (Al-Mu’minun12, 13 & 14)

Peserta diajak untuk menyedari hakikat keistimewaan sebagai khalifah Allah melalui tadabbur surah At-Tin ayat 4 yang berbunyi

“Sesungguhnya kami menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baik kejadian”

Aktiviti berikutnya pula yang bertajuk ‘Princess in Islam’ dikendalikan oleh saudari Syamimi. Pertamanya, peserta diminta untuk melukis potrait puteri yang pernah mereka idamkan terutamanya pada zaman kanak-kanak. Rata-rata peserta menyedari betapa zaman kecil dahulu mereka banyak terdedah kepada media massa barat dan cerita dongeng ‘fairy tales’ semata-mata.

Kemudian, saudari Syamimi menceritakan kisah mengenai seorang serikandi Islam yang agung, yang kisahnya adalah benar belaka, yang patut dicontohi oleh setiap insan yang bergelar muslimah, iaitu-Siti Khadijah. Riak wajah peserta menunjukkan betapa mereka mengagumi pengorbanan Siti Khadijah. Sesi ini diakhiri dengan petikan ayat  surah An-Nahl:97 –

“Barang siapa mengerjakan kebajikan, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”

Seterusnya, ‘open session’ telah diadakan. Hampir semua peserta mengemukan pandangan dan konklusi yang mereka perolehi.

Rehlah ini diakhiri dengan jamuan beramai-ramai hasil masakan yang dibawa oleh para peserta sendiri. Kira-kira jam 12.45pm peserta bertolak pulang ke tempat kediaman.

Pihak pengajur mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang menjayakan rehlah ini dan para peserta terutamanya. Diharap aktiviti singkat ini mampu member impak yang berpanjangan kepada semua peserta dalam mendekatkan diri kepada Allah swt.

Sekian.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s