Monthly Archives: September 2010

ISMA India prihatin terhadap mangsa banjir Pakistan

Baru-baru ini dunia telah digemparkan dengan satu kejadian banjir besar di Pakistan yang menganggarkan lebih 20 juta penduduk (1/8 populasi negara) terkesan di mana lebih daripada 1500 orang mati dan 6 juta penduduk memerlukan bantuan kecemasan. Manakala sekurang-kurangnya 6 juta orang kehilangan tempat tinggal dan dianggarkan I juta rumah dan 200 hospital serta klinik turut musnah.

Bertindak atas keprihatinan, ISMA India dengan kerjasama Yayasan Ikhlas & Biro Dakwah ISMA serta ISMAWeb telah melancarkan ‘Kempen Derma Kilat Pakistan 2010’ bagi meringankan kesusahan yang dilalui akibat musibah yang menimpa mereka.

Kutipan derma yang dikumpul akan diserahkan kepada Yayasan Ikhlas dan Biro Dakwah ISMA untuk pengagihan.

Seperti dinyatakan di dalam al-Quran, “Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya karena mencari keridaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.” (2:265)

Media ISMA India

Advertisements

Projek Ramadhan di bumi Palestin 2010

ISMA India dengan kerjasama Aman Palestin Bhd (http://www.amanpalestin.net) telah melancarkan Projek Ramadhan di bumi Palestin 2010. Projek Ramadhan ini juga merupakan usahasama antara jaringan ISMA Luar Negara dan turut dilancarkan di Eropah, Australia, New Zealand, Korea, Mesir dan Jordan.

Antara aktiviti yang telah dianjurkan selain daripada pengedaran tabung dana adalah program ‘Charity Iftar for Palestine’. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Barangsiapa yang memberi makanan kepada orang yang berpuasa (sewaktu berbuka), maka baginya keampunan terhadap dosa-dosanya, diselamatkan batang tengkuknya dari api neraka dan baginya ganjaran pahala yang sama seperti orang berpuasa itu tanpa berkurangan walau sedikitpun” (Riwayat Tarmidzi)

Projek sebegini dapat memberi peluang kepada warga Bangalore yang rata-ratanya pelajar perubatan terlibat sama dalam usaha untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat Palestin. Secara tidak langsung, masyarakat Malaysia di Bangalore khususnya juga mendapat kesedaran dan turut merasai kesengsaraan rakyat Palestin. Walaupun begitu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Segala dana yang terkumpul akan diserahkan kepada pihak Aman Palestin Bhd melalui wakil ISMA India.

Semoga ruh infaq yang telah terdidik di dalam diri ketika Ramadhan ini dapat diteruskan lagi di bulan-bulan yang seterusnya.

Media ISMA India

Kuiz Ramadhan ISMA India meriahkan Bulan Kemerdekaan

Sempena dengan sambutan kemerdekaan negara yang ke-53, ISMA India dengan kerjasama International Medical School Association (IMSA) dan Malaysian Student Association of Bangalore (MSAB) telah menganjurkan Kuiz Ramadhan 1431H.

Kuiz Ramadhan kali ini mendapat penyertaan yang sangat menggalakkan daripada para pelajar perubatan Malaysia di Bangalore. Para peserta dibolehkan untuk mencari jawapan melalui mana-mana bahan rujukan seperti internet, buku-buku yang berkaitan dan juga menerusi perbincangan. Secara tidak langsung, ia sekaligus dapat menimbulkan minat yang mendalam terhadap pengetahuan am tentang sejarah, fiqh Islam dan sebagainya. Pemenang dipilih berdasarkan bilangan jawapan yang tepat dan slogan yang menarik.

Saudara Ahmad Helmi Bin Hamdan, pelajar perubatan IMS tahun 3 telah memenangi tempat pertama dengan slogan “Ramadhan kali ini sangat bermakna kerana kehadirannya ibarat tali yang menambat diriku dari hanyut dalam lautan nikmat duniawi”. Kesemua 10 pemenang telah diraikan pada Majlis Sambutan Kemerdekaan Malaysia peringkat Bangalore yang telah berlangsung di Auditorium International Medical School.

Media ISMA India

Majlis Iftar Jamaie ISMA India menyemai ukhuwwah

Salah satu nikmat bagi mereka yang berpuasa adalah saat waktu berbuka menurut Rasulullah SAW. Oleh demikian, bersempena dengan Ramadhan yang mulia ini ISMA India telah menganjurkan 2 siri Majlis Iftar Jamaie iaitu pada 14 dan 29 Jun 2010. Siri 1 telah diadakan di Shriram Sadhana manakala Siri 2 pula bertempat di Raghuram Regency.

Menurut Pengarah Projek iaitu saudara Dzul Helmi Mohd Zin, majlis ini diadakan bertujuan untuk merapatkan ukhuwwah antara mahasiswa di sini. Lebih 20 orang mahasiswa yang terdiri daripada ahli-ahli serta sukarelawan ISMA India dan mahasiswa yang lain menyertai majlis tersebut. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran beberapa mahasiswa dari Manipal.

Selain untuk merapatkan ukhuwwah, majlis sebegini turut bertujuan untuk mengumpul dana bagi Projek Ramadhan di Palestin 2010 anjuran Aman Palestin Bhd (http://www.amanpalestin.net) menerusi program Charity Iftar for Palestine.


Diharapkan agar ukhuwwah yang telah terbina ini akan terus utuh melalui program sebegini.

Media ISMA India

ISMA India anjurkan Kursus Sejarah Islam


BANGALORE, 7-8 Ogos – Kajian sejarah adalah kajian tentang asbab dan musabab kepada sesuatu peristiwa, bukanlah kajian kronologi semata-mata. Begitulah pesan Ustaz Mohd Asmuni, Naib Presiden II Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada Kursus Sejarah Islam yang dianjurkan oleh ISMA India baru-baru ini.


Sejarah memainkan peranan yang penting di dalam memacu sebuah pergerakan perubahan di dalam masyarakat. Tanpa memahami sejarah, kita tidak mampu membawa perubahan sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi SAW dan para sahabat.

Memahami akan betapa pentingnya untuk penggerak dakwah masa kini mempelajari sejarah terutama sejarah Nabi SAW dan para sahabat, ISMA India mengambil peluang mengisi keperluan ini dengan menganjurkan Kursus Sejarah Islam untuk para penggerak Islamic Youth Association (IYA) Bangalore.

Kursus ini telah diadakan selama dua hari bertempat di Auditorium Bangalore Islamic Foundation Trust (BIFT). Selain penggerak IYA Bangalore, kursus ini turut disertai oleh mahasiswi perubatan dari Mangalore.

Media ISMA India

Siri Kuliah Fiqh anjuran ISMA India memupuk mahasiswa melaksanakan ibadah yang sahih

BANGALORE, 9-10 Ogos: Seringkali mahasiswa Malaysia di luar negara menghadapi masalah dalam mendapatkan pandangan fiqh yang tepat dan penuh autoriti dalam menghadapi pelbagai masalah agama. Hal ini amat penting dalam mengejar salah satu ciri-ciri individu Muslim Unggul iaitu ibadah yang sahih.

Sehubungan itu ISMA India menyahut keperluan ini dengan mengadakan satu siri kuliah fiqh yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fauzi Asmuni, Naib Presiden II Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Siri Kuliah Fiqh ini diadakan pada dua sesi bertempat di Surau F15 Shri Ram Sadhana. Seramai 80 orang pelajar perubatan International Medical School hadir di dalam keduaI-dua sesi kuliah tersebut.

Dalam siri pertama kuliah tersebut, Ustaz Mohd Fauzi telah memberi kupasan mengenai fiqh permusafiran. Pengetahuan fiqh permusafiran amat membantu para pelajar di luar negara khususnya kerana mereka sering bermusafir ke merata tempat. Siri pertama ini telah berlangsung selepas solat Isya’ berjemaah pada 9 Ogos 2010.

Siri kedua Kuliah Fiqh yang berlangsung keesokan malamnya  pula memuatkan sesi soal jawab bebas. Para pelajar diberi peluang untuk bertanya pelbagai soalan berkisar di sekitar kehidupan seharian sebagai pelajar Muslim di luar negara.

Pihak ISMA India berbangga hati dengan sambutan yang amat menggalakkan dari pelajar IMS. Ini membuktikan kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu agama agar ibadah yang dijalani dipastikan sahih.

Media ISMA India


Paintball Game mewarnai tarbiyyah di Bangalore

BANGALORE, 25 Julai – Dakwah merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap Muslim dan tugas mulia tersebut memerlukan tubuh badan yang sihat dan kuat. Perlaksanaan ajaran Islam yang lain seperti solat, puasa dan sebagainya secara optimal juga mengkehendaki setiap penganutnya sebolehnya memiliki fizikal yang sihat dan kuat.  Rasulullah SAW sangat menitikberatkan soal ini. Mafhum Hadith yang bermaksud: Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan. Al-Banna pula berpesan agar setiap kita mestilah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau meminum sesuatu yang boleh merosakkan badan.

Menyahut seruan tersebut, paintball game telah berjaya dianjurkan yang bertempat di The PaintBall Arena – Bangalore, Bannerghatta. Seramai 22 orang pelajar perubatan IMS termasuk 2 orang pelajar dari JJM Davangere telah memeriahkan acara tersebut. Permainan bermula pada jam 11 pagi. Kesemua peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan. Kumpulan yang berjaya menembak kesemua ahli pasukan lawan akan memenangi setiap pertandingan dan mereka yang mendapat mata tertinggi menjadi juara. Acara berakhir dengan hidangan tengah hari.

Semoga aktiviti sedemikian dapat diteruskan pada masa hadapan seiring dengan usaha kita untuk membina fizikal yang mantap (Qawiyyul Jism) sebagai salah satu daripada 10 ciri-ciri Individu Muslim.

Media ISMA India