Monthly Archives: September 2010

Rijal-rijal yang kita mahukan, bukan pengikut

Apa bezanya antara rijal pembawa dakwah dengan pengikut?

Rijal pembawa dakwah itu adalah insan-insan proaktif. Yang diikutinya adalah jalan serta metod dakwah yang dibawa oleh Murabbinya. Rijal-rijal sudahpun meletakkan sepenuh hatinya pada jalan dakwah, menginfak seluruh hidupnya untuk mengajak insan-insan lain kepada jalan ini juga. Mereka tidak bergantung kepada pemimpin untuk terus berjuang. Pengikut belum pasti lagi meletakkan hatinya di jalan dakwah. Hatinya pada pemimpin, bergantung pada pemimpin. Andai rebah pemimpin, rebahlah perjuangannya.

Rijal itu sedikit bilangannya…

Pengikut itu ramai…

Seorang rijal, boleh membentuk rijal yang lain agar menjadi rijal sepertinya. Seorang pengikut hanya boleh mempengaruhi orang lain untuk menerima pendapatnya semata.

Di dalam badan dakwah, kita perlukan rijal, bukan pengikut. Maka pengaruh semata bukanlah menjadi ukuran, tetapi betapa ramainya rijal yang berjiwa seperti kita yang mampu kita hasilkan.

Untuk dapatkan pengikut kerjanya senang. Banyakkan ceramah, banyakkan menulis, petahkan pidato, banyakkan program, banyakkan kebajikan, nescaya ramai yang mahu jadi pengikut, terpesona dengan peribadi kamu, lalu pengikut mahu kamu jadi pemimpin mewakili mereka.

Untuk dapatkan seorang rijal? Ceramah kena buat, menulis pun kena buat, pidato pun perlu dipetahkan, kebajikan perlu diperbanyakkan. Untuk apa? untuk kita identify di kalangan mereka yang terpengaruh, siapa yang cukup hebat untuk dijadikan rijal. Kemudian? Kerja seterusnya adalah kerja sebenar seorang Murabbi; membentuk rijal terpilih ini agar jadi seperti kita. Kerjanya bukan kerja mudah, hati perlu dimenangi, ta’aruf mesti didalami, didikan peribadi dibuat satu per satu, ideologi ditanam secara peribadi; kerja yang menuntut masa kerana bukan seorang rijal yang dikenal pasti tapi mungkin 5 atau 10 orang.

Hayat sesuatu badan dakwah amat bergantung kepada rijal yang dihasilkan kerana rijal inilah yang akan meneruskan perjuangan. Rijal terbaik yang boleh dibentuk adalah anak yang lahir dari benih kita sendiri; maka pemilihan zaujah yang turut memahami dakwah juga adalah pra syarat untuk memastikan anak itu ditarbiah agar menjadi rijal.

Pengikut? Belum pasti dapat meneruskan sebuah perjuangan. Kerana mereka hanya mengharapkan seorang pemimpin untuk mereka jadikan wakil bagi menyenangkan hidup mereka.

Anas Aminin Bin W. M. Izzuddin

Aktivis ISMA India

Advertisements

Sirah Muzikal 2010: Merentas Kegemilangan Ummah

Penampilan Islam sebagai sebuah agama yang dianuti oleh pelbagai bangsa dan latar belakang manusia cukup untuk memperlihatkan kesempurnaan Islam itu sendiri. Sebagai sebuah agama yang fleksibel perlaksanaanya, mengikut aturan dan dasar yang telah sedia ada, Islam tidak sekali-kali menyekat umatnya untuk berhibur, tidak kiralah hiburan dari mana-mana bangsa sekalipun, asalkan ianya adalah selari dengan kehendak Islam sendiri.

Maka, atas kesedaran ini Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Shah Alam Klang, dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) akan menganjurkan Sirah Muzikal 2010 sebagai alternatif hiburan santai yang menjaga batasan syariat, serta digabungkan dengan elemen pendidikan iaitu penyampaian sejarah perkembangan tamadun Islam yang pernah menguasai dunia sehinggalah empayar kerajaan Islam terakhir jatuh pada tahun 1924.

Ungkapan cendekiawan ada berbunyi ‘Satu bangsa yang lupa akan sejarahnya bukanlah satu bangsa yang berjaya’.

Selain itu, program ini juga merupakan salah satu projek untuk mengumpul dana bagi pembinaan Sekolah Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, Ranau, Sabah di bawah kelolalaan Saudara Nazrey Johani, yang juga merupakan penggiat seni nasyid tanahair.

Dana yang diperlukan adalah sebanyak RM15 juta dan tempoh kutipan dana adalah bermula 2 Julai 2010 sehingga 2 Julai 2012 dengan perakuan dan sokongan dari Jabatan Agama Islam Negeri Sabah. Seperti yang kita maklum, keperluan sekolah agama di Sabah amatlah meruncing dan jumlah yang sedia ada masih amat kecil jika dibandingkan dengan keperluan ummat Islam di sana.

Justeru, saya menyeru semua pihak untuk sama-sama menggembleng tenaga menjayakan usaha murni ini dan memberi sokongan penuh terhadap segala usaha untuk mengumpulkan dana bagi sekolah tahfiz tersebut.

Sumber: Laman ISMAWeb

Tanggungjawab dan cabarannya

Selagi mana nyawa masih dikandung badan, tanggungjwab dan cabaran akan terus-menerus kita hadapi.

Sebagai seorang anak misalnya, berbuat kebajikan terhadap kedua ibu bapa adalah tanggungjawab dan cabarannya. Sabda junjungan besar Nabi Muhammad saw: “Berbuatlah kebajikan kepada kedua ibu bapa adalah lebih utama dari bersolat, bersedekah, berpuasa, menunaikan umrah dan haji serta berjihad fisabilillah.”

Sebagai seorang pelajar pula, dia seharusnya belajar dengan baik, menyiapkan segala tugas yang diberikan dan disiplin dalam menjalani tata tertib sekolah atau universiti. Ini adalah tanggungjawab dan cabarannya.

Seterusnya sebagai seorang muslim, meningkatkan maqam dan kedudukan di sisi Allah adalah tanggungjawab dan cabarannya.

Dan banyak lagi tanggungjawab dan cabaran yang lain..

Namun rata-rata kita menganggap tanggungjawab dan cabaran itu sebagai satu bebanan kehidupan yang dicampakkan kepada kita. Namun sebenarnya jika kita bijak, semua bebanan itu jika kita pijak, langkah demi langkah kita akan menjadi insan yang berkualiti dan berguna, kepada semua.

Kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah, insya Allah sama sekali kita tidak akan hilang punca.

Ahmad Farid Nazmi Bin Abdul Halim

Aktivis ISMA India

Aidilfitri dan Imtihan

Tahun ini, hampir kesemua pelajar International Medical School (IMS) Bangalore Campus tidak dapat pulang ke Malaysia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di tanah air. Bagi pelajar tahun ke-2 dugaan yg dihadapi lebih mencabar pabila peperiksaan dimulakan pada hari ke-3 raya. Bagi pelajar tahun ke-3 dan ke-4 pula, peperiksaan bakal berlangsung pada minggu ke-3 raya. Aidilfitri kali ini, jika ditanya kepada rakan- rakan yang tidak pulang ke Malaysia dikatakan penuh dengan dugaan dan cabaran. Rindu pada keluarga di sana, tetapi hati dan akal perlu ditumpukan disini kata mereka. Mungkin, pengalaman ini dirasakan pahit. Namun, inilah pengalaman yang kita bakal rindui selepas tamat belajar.

Jika kita kembali bermuhasabah..

Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas berakhirnya Ramadhan. Orang-orang beriman diberi semula peluang untuk menikmati nikmat Allah setelah selepas sebulan menyerahkan jiwa dan raganya untuk beribadah kepada ALLAh s.w.t.

Hari Raya Aidilfitri juga merupakan hari kemenangan pertentangan antara akal dan hawa nafsunya, kerana puasa atau bulan Ramadhan merupakan medium yg penuh dengan ganjaran yg ALLAH telah berikan pada manusia bagi tujuan untuk menundukkan hawa nafsunya.

Perlu ditegaskan bahawa perayaaan Aidilfitri sejati merupakan satu kemenangan secara batiniah atau rohaniah. Justeru itu ia harus direfleksikan di dalam peningkatan kualiti perilaku beragama; keimanan yang bertambah kuat dan ketakwaan yang semakin menebal. Kita renungi syair Arab;

“Bukanlah hari raya Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun hari raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah.”

Sewajarnya juga, kesucian lahir dan batin ini menjadi motivasi untuk membentuk kesedaran membantu golongan yang miskin atau tertindas. Dengan kesedaran yang demikian akan membawa kita menjadi manusia yang bertakwa dan mendapat kemuliaan di sisi-Nya.

Dalam kita merayakan Aidilfitri ini, setidak-tidaknya ada tiga perkara yang mesti dilakukan iatu,

  • Pertama, bertakbir mengagungkan Allah atas segala petunjuk-Nya, sehingga kita tetap berada di jalan-Nya.
  • Kedua, bersyukur dengan membahagikan rezeki yang diperoleh dengan membayar zakat fitrah
  • Ketiga menahan marah dan saling maaf-memaafkan.

Hal ini sebagaimana diajarkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 185 dan ali-Imran ayat 134 yang bermaksud: “Mereka yang tetap berderma baik dalam keadaan lapang ataupun sempit dan mereka mampu menahan marah, lagi pula bersifat pemaaf kepada sesama manusia.”

Justeru itu, suasana lebaran adalah suasana keilahian dan kemanusiaan. Apa yang lebih penting dari itu ialah melalui semangat Syawal kita terus menperbaiki perilaku peribadi, hubungan dengan orang lain serta hubungan kita dengan Allah.

Maka ingin diingatkan buat pelajar-pelajar Malaysia di India, suasana lebaran itu perlu dihargai dan disambut dengan gembira bukan ditangisi. Tidak kira apa juapun keadaan yang kita hadapi, itu adalah ketentuan ALLAH dan yakinilah setiap qada’ dan qadarnya penuh dengan hikmah.

“Eid Mubarak” diucapkan kepada semua mahasiswa di India umumnya dan juga tidak lupa kepada para pelajar IMS khususnya yang bakal menduduki peperiksaan, “Bitaufeeq wannajah fi imtihan”.

Media ISMA India

Tadarus Al-Quran menghidupkan malam-malam Ramadhan di Bangalore

Ramadhan, bulan penuh berkah dan kemuliaan sentiasa dinanti dek janji curahan rahmat, keampunan dan  pelepasan dari azab neraka. Di dalamnya punya satu sejarah agung buat umat islam keseluruhannya. Sejarah yang menyelamatkan manusia dari penyimpangan dan kekufuran. Yang kemudiannya disusuli dengan beberapa siri kunjungan Malaikat Jibril untuk sama-sama bertadarus bersama Rasulullah s.a.w.

Allah s.w.t. berfirman: “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza(antara yang hak dan batil).” (Al-Baqarah: 185).

Ketenangan dan keyakinan membaca Al-Quran benar dirasai mahasiswi IMS melalui tadarus yang dianjurkan ISMA India disepanjang Ramadhan. 10 kumpulan kecil dibahagikan untuk sama-sama menghabiskan bacaan 3 juzuk al-quran yang telah diamanahkan. Bermula seawal 7.40 malam sesi tadarus dimulakan diikuti solat ‘Isya dan Terawikh secara berjemaah. Alhamdulillah, di atas kesungguhan dan sifat istiqamah mahasiswi yang menyertai, bacaan Al-Quran dapat dikhatamkan di akhir Ramadhan.

Menghidupkan tadarus Al-Quran sebagai amalan harian diharapkan dapat dipupuk di kalangan mahasiswi.

“Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca dan bertadarus Al-Qur’an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan (sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada para malaikat”. (Riwayat: Abu Daud)

Semoga kitalah golongan yang dimaksudkan di dalam riwayat di atas. Amin.

Media ISMA India

Evening with Sisters (EWS) meraikan kejayaan pelajar Tahun 1 MBBS

BANGALORE, 24 Ogos – Alhamdulillah, segala syukur hanya untuk Allah, sekali lagi akhawat  di Bangalore dapat berkumpul bersama meraikan Ramadhan pada Majlis Iftar Evening with Sisters (EWS).

EWS  kali ini diadakan khusus buat adik-adik 4th batch yang berjaya di dalam Peperiksaan Profesional Tahun 1 MBBS sekaligus merupakan majlis doa sempena kepulangan mereka ke Malaysia.

Majlis juga diraikan dengan selingan sketsa Ramadhan dan persembahan nasyid dari akhawat ISMA India.

Syukran kathiran diucapkan buat adik – adik yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Sekalung tahniah diucapkan buat adik-adik  yang berjaya meneruskan perjuangan ke Tahun 2  MBBS dan selamat jalan dari kami ISMA India.  Semoga majlis ini diiringi redha dan keampunan Ilahi.

Media ISMA India

Iftar Ramadhan Palestin mendapat sambutan positif daripada mahasiswi Bangalore

Imam Ja’far Ash-Shadiq as berkata, “Allah mewajibkan puasa untuk mempersamakan si kaya dan si miskin. Dengan puasa orang kaya akan merasakan deritanya lapar untuk menimbulkan belas kasihnya kepada si miskin, kerana selama ini si kaya tidak pernah merasakannya. Allah menghendaki untuk menempatkan makhluk-makhluknya pada suatu pijakan yang sama dengan jalan membuat si kaya turut merasakan nestapanya lapar, sehingga ia menaruh belas kasihan kepada orang yang lemah dan lapar.’’

Hakikat Ramadhan mendidik manusia erti sebenar takwa sekaligus membina keperibadian muslim unggul. Bukan sahaja menahan diri dari berlapar dan dahaga, juga menanam bibit simpati dan belas ihsan sesama manusia. Bahkan diberi ganjaran lumayan berlipat ganda di atas setiap ibadah dan infak. Dengan itu, ISMA India dan Aman Palestin Bhd membuka peluang seluas-luasnya buat pelajar International Medical School (IMS), Bangalore untuk menggunakan peluang Ramadhan untuk latihan membina diri dengan sifat prihatin dan empati, khususnya buat saudara dan sahabat di Palestin.

‘Projek Ramadhan di bumi Palestin’ mendapat sambutan positif dari akhawat  menandakan masih wujud lagi kesedaran tentang kesengsaraan penduduk Palestin. Alhamdulillah, sejumlah dana bernilai  Rs170 000 berjaya dikumpulkan melalui tabung palestin serta majlis iftar akhawat dan ikhwah di IMS.

Semoga usaha ini dapat diteruskan dan tetap mendapat perhatian seluruh saudara muslim khususnya komuniti pelajar Malaysia di India. ISMA India mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang dihulurkan. Hanya Allah sahaja yang layak membalas budi kalian, Insya Allah.

Media ISMA India