photo tazkirah

Photo taz 1Photo taz 2Photo taz 3Photo taz 4Photo taz 5Photo taz 6(1)
Photo taz 6(2)Photo taz 7Photo taz 8Photo taz 9Photo taz 10Photo taz 11
Photo taz 12Photo taz 13Photo taz 14Photo taz 15Photo taz 16Photo taz 17
media tazkirah 1media tazkirah 2media tazkirah  3media tazkirah 4media tazkirah  5media tazkirah  6

photo tazkirah, a set on Flickr.

Pengumuman Perpindahan

Assalamualaikum WBT.

Dengan ini, biro media ISMA India mengumumkan perpindahan blog ini ke website kami yang terbaru di alamat http://ismaindia.net

untuk direct ke website kami, sila klik ISMA India

Semoga dengan usaha ini, dapat memantapkan tarbiyyah kita bersama. InsyaAllah. Semoga dalam redha Allah.

Jazakumullah khairan kathiran.

Rumah Terbuka ISMA India merapatkan ukhuwwah

Bangalore 1 Syawal 1432H. Syawal tiba menandakan satu kegembiraan menyambut kemenangan setelah sebulan bermujahadah melawan nafsu. ISMA India tidak melepaskan peluang ini untuk meraikan ketibaan hari mulia ini dengan mengadakan Rumah Terbuka ISMA India.

Rumah Terbuka yang diadakan di Bayt At-Ta’deeb ini telah dihadiri oleh seramai 100 Mahasiswa dan Mahasiswi Malaysia yang menuntut di Bangalore. Sesi untuk mahasiswa diadakan bermula jam 11 pagi hingga 2 petang kemudian disusuli oleh sesi untuk mahasiswi.

Para pengunjung rumah terbuka ISMA India turut dihiburkan dengan persembahan deklamasi Sajak Kemerdekaan oleh saudara Zulhilmi Hasif dan Sajak Aidilfitri oleh saudara Amirulhasbi. Melalui sajak tersebut para pengunjung diajak untuk menghayati nilai kemerdekaan yang turut menjadi simbolik kepada makna Aidilfitri iaitu mengembalikan insan kepada fitrahnya.

Kesempatan ini turut di ambil oleh Pengerusi ISMA India, Saudara Farid Nazmi untuk berucap mengalu-alukan para tetamu. Beliau berpesan kepada para pengunjung agar dapat istiqamah dengan amal-amal di bulan Ramadhan di bulan-bulan lain agar kita menjadi hamba yang rabbaniyyah, bukan hamba ramadhaniyyah.

Pihak ISMA India berterima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan rumah terbuka Syawal pada tahun ini. Akhir kalam, Selamat Hari Raya Aidilfitri, taqaballahu minna wa minkum.

Media ISMA India

Perutusan takziah buat keluarga Allahyarham Noramfaizul

 

Presiden ISMA dan seluruh Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA mengucapkan takziah kepada keluarga jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor di atas pemergian beliau ke rahmatullah pada 2 September yang lalu.

Allahyarham maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. ISMA mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali-’Imran: 185)

http://www.ismaweb.net/v4/2011/09/perutusan-takziah-buat-keluarga-allahyarham-noramfaizul/

SEED: Program Tafaqquh & Bedah Buku

Bangalore, 27-29 Ogos: ISMA India telah menganjurkan lagi seminar bersiri iaitu Siri Eksplorasi Ad-Deen(SEED). Keistimewaan SEED kali ini adalah ia merupakan satu program dengan kerjasama ISMA Jordan. Dua penceramah jemputan dari Jordan iaitu Ustaz Mohd Sofee Bin Mustafa dan Ustaz Ahmad Bin telah diterbangkan khas untuk mengisi slot-slot SEED yang lebih menumpukan pada Program Tafaqquh & Bedah Buku.
Bertempat di Bayt Hasan Al-Banna, program dimulakan pada 2.00pm(Sabtu, 27 Ogos) dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis. Program diteruskan dengan pembentangan Shadatul Haq oleh Ustaz Mohd Sofee Mustafa. Pembentangan dipecahkan kepada 2 slot. Shahadatul Haq adalah suatu seruan yang dikemukakan oleh Sayyid Abu al-‘Ala al-Maududi dan ditujukan untuk seluruh manusia. Melalui seruan ini, beliau menjelaskan kepada masyarakat tentang dakwah Islamiyyah.
Pada hari kedua, para peserta didedahkan dengan Fiqh Siyam, Fiqh Taharah dan Fiqh Solat oleh Ustaz Ahmad Bin Khairuddin dengan harapan agar para peserta dapat melaksanakan amal ibadah berlandaskan hujah dan nas yang betul dan bukan hanya sekadar bertaklid buta.
Keesokan harinya, program diteruskan dengan pembentangan Haza Deen. Penceramah telah membetulkan salah faham tentang Islam dengan membawa para peserta untuk memahami bahawa agama Islam merupakan dasar yang terbaik bagi manusia dan adanya tuntutan-tuntutan yang perlu dipenuhi sebagai seorang Muslim. Melalui manhaj Islam yang syumul, lahirnya generasi yang unggul dan agung. Para peserta harus berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan dan menjadikan manhaj Islam sebagai peraturan hidup. Sejarah telah membuktikan bahawa manhaj ini telah berjaya mencapai kemenangan yang gemilang mengalahkan realiti pada ketika itu dan berjaya mengubah budaya berfikir dan bekerja sedia ada kepada budaya baru yang lebih terurus dan terarah.
SEED kali ini diakhiri dengan penyampaian saguhati daripada pihak ISMA India. Program kali ini telah mencapai objektif yang telah digariskan iaitu untuk memberikan kefahaman asas fiqh ibadah serta memahami studi tentang Islam kepada para peserta. Mereka memberikan respon yang positif serta berharap agar program sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang.

Program Celikkan Hatimu – Kenali asal cerita, Faham bagaimana bermula

Mangalore, 14 Ogos 2011- Bertempat di Santosh Castle Apartment, ISMA India, cawangan Mangalore telah  mengadakan satu program berbentuk pengisian rohani dan ilmiah untuk pelajar-pelajar Muslimah di Mangalore. Seramai 23 orang peserta telah hadir dan terdiri daripada Muslimah pelajar tahun satu dan dua MCODS, KMC Mangalore, A. B. Shetty dan K.S. Hedge. Dengan tema ‘Kenali asal cerita, Faham bagaimana bermula’ program dibuka dengan sesi Muqaddimah yang dikendalikan oleh Nor Fazehan. Slot ini banyak menerangkan tentang pentingnya pengetahuan sejarah Islam sebagai salah satu pemangkin dalam membangkitkan semangat jati diri dalam setiap individu Muslim itu sendiri. Mengetahui akan usaha para mujahid dalam berdakwah dan para syuhada dalam menegakkan kebenaran,serta kegemilangan Islam pada suatu ketika dahulu, membuka mata para peserta agar terus bersemangat dalam memperjuangkan kalimah tauhid hingga ke akhirnya.

Slot seterusnya iaitu ‘Sirah Rasulullah’ telah disampaikan oleh ukhti Fizzi. Peringatan kembali akan kisah kehidupan waktu kecil Rasulullah s.a.w, perjuangan baginda, sehingga saat wafatnya baginda telah berjaya menggamit kerinduan para peserta kepada susuk yang tiada tandingan itu. Harapan penuh di dada agar dapat mengikuti sebanyaknya sunnah-sunnah Rasulullah bukan sahaja dalam ibadah dan dakwah, malahan dalam kehidupan seharian.

Program diteruskan oleh saudari Nur Natasya, dengan tajuk ‘Khilafah dan Empayar Islam’. Di sini kami diperingatkan tentang kebangkitan sistem khilafah dan kegemilangan empayar Islam, Abbasiyah yang berjaya menjadi tempat rujukan seluruh dunia pada suatu ketika dahulu. Kecemerlangan umat Islam yang bukan sahaja dalam bidang agama, malahan seluruh aspek pendidikan dan ilmiah telah membuktikan akan kesyumulan agama Islam itu sendiri.

Sesi penerangan dan diskusi kemudian diambil alih oleh ukhti Siti Nor Hidayu dengan tajuk ‘Kejatuhan Empayar dan Sistem Khilafah 1924’. Ternyata kealpaan umat Islam dengan kehidupan duniawi memakan diri sendiri. Tanpa disangka umat yang gah dan disegani akhirnya tersungkur dek ketamakkan nafsu yang jahil. Peringatan yang amat berharga buat kami bahawa pembinaan individu Muslim perlu seimbang dari segi rohani, fisikal dan mental,agar tarbiyah dan dakwah dapat berjalan seiring.

Kepadatan input yang diterima dan kepenatan fizikal di bulan Ramadhan akhirnya dipulih semula dengan solat zohor berjemaah. Ternyata peserta lebih bersemangat setelah selesai menunaikan kewajipan ibadah utama itu.

Program diikuti dengan Slot Solusi yang disampaikan oleh ukhti Nora Fariza. Penekanan dibuat dari segi kepentingan tarbiyyah dalam usaha membina individu Muslim. Kegemilangan yang pernah dicapai mustahil untuk diraih kembali jika struktur asas tidak kukuh, dalam erti kata lain Ustaziatul Alam itu tidak akan terbentuk segah yang diimpi jika pembinaan individu Muslim itu sendiri tidak diperkemaskan.

Jam 2.30 petang, aktiviti santai lagi berinformasi telah dikendalikan oleh ukhti Musfirah-Kuiz Perkembangan Sejarah Islam, ternyata menguji ingatan dan kefahaman kami yang hadir dan menjadi ‘favourite session’ pada program kali ini. Kira-kira jam 3.30 petang, berlangsung sesi taaruf sesama peserta sekaligus sebagai acara penutup program. Alhamdulillah, dengan kerjasama pihak penganjur dan peserta, program Celikkan Hatimu telah dapat dijayakan, dan telah menjadi program pertama anjuran ISMA Mangalore yang baru ditubuhkan ini. Diharapkan program ini dapat menyuntik satu azam baru, agar terus bersemangat dalam menghidupkan nilai Islami dalam setiap diri.

Disediakan oleh,

ISMA Mangalore

Rehlah Masyi Siswi – Antara Penghayatan dan Kesungguhan

Bangalore, 18 Ogos 2011  – Alhamdulillah syukur dan puji-pujian buat Allah yg Esa atas kekuatan yg dipinjamkanNya buat siswi di International Medical School, Bangalore untuk menyudahkan program rehlah Masyi pada hari Khamis  bersamaan 17 Ramadhan 1432 . Rehlah Masyi yang julung kali diadakan ini tidak dikecewakan dengan semangat yang ditunjukkan para siswi.

Perjalanan yang berjarak lebih kurang 7km berjaya disudahi dalam masa 2 jam. Para siswi mula bergerak dari Baptist Bangalore Hospital melalui Sanjaynagar dan Mathikere ke Gokula seusai bacaan doa dan taklimat ringkas.

Sepanjang perjalanan, setiap siswi ditugaskan untuk menghafal hadith ke 19 yang  diambil dari himpunan hadith 40. Jelas kelihatan kesungguhan para siswi dalam menghafal hadith ditengah-tengah hiruk pikuk dan kesesakan  jalan raya Bangalore.

Sedikit pengisian ringkas diberi berkenaan perang badar  sejurus selepas iftar oleh Nur Athirah Yunus, Farah Inani Abdul Razak dan Siti Nur Syamimi Mohamad Asaad. Semangat Badar disuburkan kembali dan nyata berhasil membawa para siswi menyelami kisah Badar sepertimana yang dilihat dari riak wajah dan soalan demi soalan yang ditujukan.

Badar menyaksikan penyempurnaan kalimah syahadah para pejuang Islam pada ketika itu,Sepertimana kata-kata Sa’ad ibnu Muadz dari golongan Ansar kepada Rasulullah bahawa mereka kaum Ansar  akan tetap membenarkan Rasulullah dan menyertai baginda dalam peperangan walaupun Islam baru sahaja mereka imani. Satu soalan yang mungkin  boleh membawa kita untuk mengkoreksi diri, kita pula bagaimana?

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada siswi yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Semoga roh Badar yang hebat akan menerap masuk sebagai tiupan semangat jihad untuk mahasiswi terus berjuang sebagai pembawa panji dakwah islam. Doa turut dipohonkan agar program sebegini rupa akan dapat menjadi agenda tahunan yang ditunggu-tunggu mahasiswi di India.