Ujian Allah adalah Sangat Indah, Sedarkah?

Firman Allah SWT,

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (Surah Al-Ankabut; ayat 2-3).

Ayat suci di atas jelas menunjukkan perbincangan kali ini tertumpu kepada perihal ujian Allah kepada hamba-hambaNya. Layakkah kita digelar seorang yang beriman sedangkan kita belum diuji? Ujian Allah sebenarnya mengajak kita berfikir bahawa setiap aturan Allah itu punya sebab mengapa ia diciptakan dan terselindung sejuta hikmah pada dasarnya. Dan sebelum diperlihatkan hikmahnya, Allah telah menguji hamba-hambaNya dalam pelbagai bentuk ujian. Ujian Allah sarat dengan tarbiyah buat insan yang menghargainya. Lantas dengan ujian Allah itu dapat mempertingkatkan lagi iman seseorang hambaNya.

Sedar atau tidak, kita sebenarnya yang terlepas pandang akan susunan keindahan hidup  yang Allah telah tetapkan bagi setiap seorang manusia, begitu juga pada makhlukNya yang lain. Kita langsung tidak mempunyai hak ke atas kehidupan ini. Hanya mampu pada seorang hamba seperti kita adalah berusaha, berdoa, bertawakkal dan seterusnya segala ketentuan itu adalah milikNya.

“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Thalaaq; ayat 3)

Siapa kita yang boleh menentukan hari semalam adalah hari yang malang bagi kita? Mungkin hari ini dan esok kita melaluinya lagi lantas berkata, “Sekali lagi aku menempuh hari malang dalam hidupku.” Tidak! Kita tidak punya hak menentukan sesuatu kejadian itu adalah perkara yang malang. Buruk atau baik terletak pada tangan Allah. Mengapa tidak kita tukar sahaja menjadikan,“Hari ini, hari tarbiyah buatku. Terima kasih Ya Allah, aku mendapat pengajaran dari apa yang telah berlaku.” Dengan itu, bukan sahaja kita boleh tenang menghadapinya, malah jua menjadi motivasi bagi kita.

Pernahkah kita terfikir bahawa, apa yang telah kita hadapi kini adalah disebabkan apa yang telah berlaku semalam ataupun apa yang telah berlaku dahulu? Ya! Itulah kebenaran yang Allah telah jadikan. Itulah Qada’ dan QadarNya. Tanpa hari semalam, tidak ada berdirinya kita menghadapi hari ini. Hari semalam perlu dijadikan pengajaran dan iktibar bagi orang yang mencari kebahagiaan dalam kejayaan. Tanamkan rasa syukur terhadap apa yang telah berlaku.

 “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim; ayat 7)


Dalam setiap ujian yang ditempuhi, kesabaran adalah kunci kekuatan dalam menghadapinya. Latihkan diri berfikiran positif kerana insyaAllah kita akan beroleh ganjaran yang lebih baik dari Allah SWT. Ujian merupakan jua hikmah dan petunjukbagi orang yang sedar akan hikmah di sebaliknya. Fikirkanlah, Allah SWT masih lagi memberi peluang agar kita muhasabah kembali atas setiap yang berlaku kepada kita. Bak kata pepatah yang kita biasa dengar, “Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan.”

Kita adalah insan dan hamba kepadaNya. Setiap insan yang Allah ciptakan punyai kisah hidup mereka yang unik dan tersendiri. Kita ditimpa dan diuju dengan pelbagai bentuk ujian. Maha Kaya Allah yang mampu mentadbir cakerawala ini dengan penuh tersusun. Sedar ataupun tidak, kisah kita semua amat berbeza. Hanya Allah yang maha besar yang berkuasa menjadikanNya. SubhanaAllah. Betapa kerdil diri kita, bukan?

Hakikatnya, Allah SWT sekalipun tidak memerlukan kita, namun kita sebenarnya yang memerlukan Dia, pencipta kita dan pentadbir alam nan indah ini. Cuba renungkan, bersyukurkah kita dengan nikmat ujian yang Dia telah tentukan pada kita? Berterima kasih jugakah kita dengan segala Allah yang Dia sediakan?

“Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.” (Surah Al-A’raaf; ayat 10)

Oleh itu, kita sebenarnya tidak layak untuk mempertikaikan apa yang Allah telah sediakan buat kita. Kita seharusnya sedar akan hikmah dari apa yang Allah jadikan. Mungkin itu adalah balasan yang terdahulu dari dosa kita. Ataupun mungkin sahaja dugaan Allah membuatkan kita lebih mengenali siapa kita dan tujuan kita hidup di atas muka bumi Allah ini. Iringilah dugaan ini dengan redha dan penuh kesabaran.

Cuba sama-sama kita renungkan, dengan usia kita yang telah menjangkau kedewasaan ini, adakah terlihat usaha dan jasa kita pada agama seperti sahabat-sahabat baginda SAW dulu, ataupun seperti Rasulullah SAW sendiri? Pasti sukar untuk menyatakan ia telah terlihat. Hanya dibibir menyatakan Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah, namun ke mana pergi praktikal hadis yang sepatutnya diikuti?

Rasulullah SAW adalah nabi Allah yang terakhir, insan yang maksum, yang jua kekasih Allah. Baginda juga tidak terlepas dari ujian dan dugaan yang berat. Baginda pernah ditentang hebat oleh golongan kafir Quraisy dalam meyebarkan dakwah Islamiah, baginda juga pernah kehilangan orang yang disayangi iaitu isteri dan bapa saudara baginda, serta Rasulullah SAW juga adalah seorang anak yatim, tanpa ibu dan ayah di saat umurnya yang masih muda.Apa yang ada pada kita sehingga kita berani menidakkan ujian Allah, sedangkan Rasulullah SAW redha dalam menerima banyak cabaran dalam hidupnya. Di manakah kita berdiri sebenarnya? Sedarkah dengan apa yang kita lakukan ini adalah bertentangan dengan fitrah kita sebagai hamba Allah SWT.

Istilah ujian biasanya kita sering tafsirkan sebagai kesusahan dan kegagalan. Namun kebenarannya, kesenangan dan kejayaan juga adalah antara ujian yang diberikan kepada hambaNya. Tidak lain, hanya untuk melihat sejauh mana keimanan yang bakal disemai dan telah pun ditanam dalam jiwa seorang hamba itu. Setiap hambaNya, telah diberikan dugaan yang berbeza-beza. Maha Kaya Allah terhadap apa yang Dia tentukan.

Kesusahan dan Kegagalan

Dengan hadirnya kesusahan dan kegagalan, masihkah tertinggal iman yang kita semai dengan ujian tersebut?

Daripada Abi Yahya Shuhaib bin Sinan berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Sungguh baik nasib orang yang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka ia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah maka ia bersabar, maka sabar itu baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi yang tenang menghadapinya, mereka yakin akan ketentuan Allah dan menjadikan dunia ini tempat dia menerima dugaan dari Allah dan di akhirat sana adalah tempat kebahagiaan yang sebenar-benarnya. Namun, masih ramai lagi insan yang berpaling tadah dari meletakkan sepenuhnya ketetapan kepada Allah SWT.

Mereka mengeluh dan sentiasa menafikan keadilan itu. Sedangkan mereka terlalu cepat menilai tanpa menyakini apa yang berlaku ini adalah tarbiyah pada dirinya. Dengan wujudnya keimanan dalam diri, menjadikan kita redha dengan apa jua bentuk ujian Allah. Yakin bahawa setiap kesusahan yang menimpa, Allah ada bersama kita kerana hanya Dia yang menurunkan kesusahan itu dan pada Dia juga kesusahan itu akan lenyap. Berdoalah dan bersabarlah agar ketenangan jiwa itu milik kita.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman yang paling afdal ialah apabila kamu mengetahui bahawa Allah selalu menyertaimu di mana pun kamu berada.” (Hadis riwayat At-Tabrani)

Kesenangan dan Kejayaan

Sabda Rasulullah SAW:

Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan tetapi aku khuatir sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana yang telah diberikan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu hingga binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya umat terdahulu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Apakah kita sedar kesenangan dan kejayaan juga adalah satu bentuk ujian Allah yang diciptakan untuk hambaNya? Sejauh mana syukur kita itu akan berpanjangan dengan nikmat senang dan berjaya itu. Hanya keimanan pada yang hak yang menentukan. Dengan berpandukan iman, kita sedar apa yang dimiliki kini akan dikembalikan kelak. Semoga redha Allah ada pada kita.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan.( Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sesekali jangan lupa diri kerana kesenangan dan kejayaan itu adalah pinjaman yang bersifat sementara. Pada bila-bila masa sahaja Dia boleh menarik kembali apa yang dikurniakan. Allah SWT maha mengetahui apa yang tersirat dan tersurat yang terletak pada hati kita. Buangkan sifat riak, takabur dan membangga diri kerana itu penyakit hati yang sangat merbahaya. Apabila perasaan itu terlintas di benak fikiran, Istighfar adalah jalan yang terbaik.

Kesenangan dan kejayaan yang diberikan Allah pada kita, seharusnya kita kongsi bersama insan yang lain. Mungkin Allah menjadikan kita sebagai perantara untuk rezeki mereka kerana rezeki itu adalah percaturan Allah yang Maha Luas. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima. Keihklasan dalam memberi menjadikan kita sentiasa cukup dengan rezeki kurniaan Allah.

Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas ketika menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat kembali. (Surah Al-Alaq; ayat 6-8)

Selain itu, kejayaan dalam bentuk yang lain juga seperti ilmu yang kita terima, sampaikanlah ilmu itu walaupun sepatah kata. Ikhlaskanlah dalam berkongsi ilmu. Tidak rugi andai kita kongsikan bersama, malah kemantapan ilmu itu makin bertambah.

UJIAN Allah itu indah sebenarnya. Terletak pada kita untuk mentafsirkannya. Dengan iman, tafsiran kita lebih berasas. Dengan ilmu dan amal, tafsiran kita lebih jelas. Dengan keyakinan dan kepercayaan, tafsiran kita lebih tepat.

Selamat menjadi pentafsir dengan bijak. Penuhkan ilmu di dada…

Firman Allah SWT,

Dan Kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiya; ayat 35).

Sekian, wassalam.

Unit Media ISMA India

About these ads

2 responses to “Ujian Allah adalah Sangat Indah, Sedarkah?

  1. tahniah saudari Nur Akmal… tulisan yang amat panjang lebar… menggugat rasa untuk menghabiskan bacaan …. pada kami, adalah baiknya artikel sebegini di buat sambungan agar pembaca tidak penat di dalam pembacaan mereka… secara puratanya penulisan artikel sebegini tidak bnoleh melebihi dari 4 perenggan… Wallahu A’lam.. tahniah buat penulis… abuhafizoh

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s